Skip to main content

Kuasai kemahiran teknologi memudahkan cara bekerja

Kuantan, 28 April- Para pentadbir dan pensyarah disaran meningkatkan kemahiran teknologi maklumat (ICT) bagi menangani masalah yang dihadapi semasa bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. Malahan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara atas talian di universiti juga merupakan kaedah penyelesaian terbaik dalam memastikan pengajian tidak terjejas akibat situasi yang tidak pasti bila ia akan berakhir pada masa ini. 

“Sebagai pengajar kita tiada pilihan lain dengan menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara maya bagi memastikan sesi pengajaran dapat disampaikan dengan sebaik mungkin. Dalam era digital ini mereka perlu  meneroka ilmu baharu ini, pentadbir dan pensyarah akan lebih positif  menempuh normal baharu tatkala negara menghadapi wabak ini,” ujar  Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Madya Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin dalam siri Bicara Pentadbir yang bertajuk “Normal Baharu, Bersediakah Universiti Awam?.  

Terdapat pelbagai jenis platform pembelajaran digital seperti video online, Google Classroom dan sebagainya. Pada awalnya ia amat sukar untuk ditempuh memandangkan kebiasaan pensyarah mengajar secara face to face, namun seperti yang kita ketahui jangkitan penyakit ini berkait rapat dengan kontak rapat, justeru kelaziman baharu yang perlu diamalkan sekarang ialah penjarakan sosial.

Menurutnya dalam konteks pendidikan tinggi, normal baharu ini menagih agar setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) mengamalkan penjarakan sosial. Solusi yang nyata untuk pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah dengan menghadkan pergerakan pelajar sepanjang PKP dan proses pembelajaran dan pengajaran masih kekal di luar tempoh PKP.

Bersama beliau, tiga lagi panel jemputan yang mengulas topik ini iaitu, Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hajjah Ina Md Yasin, Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) merangkap Presiden Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Raja Shah Erman Raja Arifin dan Mohd Raizalhilmy Mohd Rais yang merupakan Timbalan Presiden MASTI (Hubungan Korporat ) merangkap Presiden Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) UMP. Program dikendalikan Pegawai Penerbit Kanan, Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri sebagai  moderator.

Manakala bagi Dr. Hajjah Ina Md Yasin juga turut bersetuju dengan pentadbir yang perlu meningkatkan kemahiran ICT ini ia bukan sahaja merupakan salah satu platform untuk memudahkan bekerja dari rumah malah ia juga sebagai persediaan kita melangkah ke arah era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).  

Katanya, kini kita sendiri dapat melihat kepentingan telefon pintar, jika sebelum ini kita jarang memberi pendedahan kepada anak-anak kepada penggunaan telefon pintar, tetapi tatkala PKP ini telefon pintar merupakan sekolah mereka, semua guru menggunakan kaedah pembelajaran secara atas talian sehingga kita dapat merasakan ia sebagai keperluan bagi sesi pembelajaran anak-anak.

“Pada masa yang sama, sebagai pentadbir dan perkhidmatan awam juga turut terkesan dengan pelaksanaan bekerja dari rumah sepanjang PKP ini. Dari segi pentadbiran sendiri banyak perkara baharu yang kita akan lalui, namun bagi setengah organisasi, normal baharu ini dianggap bagai satu cabaran untuk ditempuhi,” katanya.

Tambahnya lagi, pada ketika ini peranan  pentadbir perlu memberi kefahaman kepada warganya mengenai perubahan normal baharu yang akan dilalui. Jika tiada kefahaman akan mewujudkan kesan negatif justeru akan merencatkan dan akan berdepan dengan konflik.  

“Sememangnya untuk menerima satu perubahan itu amat sukar, namun selepas mereka faham dan menghayati apa yang kita ingin lakukan, kita akan perolehi kerjasama dan maklum balas yang cepat. Kita dapat lihat masa awal PKP, ada yang marah dan tidak dapat menerima, namun apabila kita sama-sama lalui PKP 2 dan PKP 3, normal baharu ini telah menjadi kebiasaan kepada mereka sebab mereka sudah mulai faham,” katanya.

Dalam usaha pentadbiran universiti perlu menanganinya dengan empat  perkara iaitu jangkaan, mengenalpasti, menilai dan bertindakbalas. Dalam waktu krisis ini keadaan berubah tidak tentu masa, jadi kita perlu mengenalpasti apa yang berlaku dan apa impaknya sehingga penilaian dapat dibuat dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya.  Selain itu, sebagai pentadbir kita juga perlu mengambil tindakan dengan cepat dan tepat.

Manakala Raja Shah Erman Raja Arifin pula berpandangan pastinya kebanyakan kita tidak bersedia untuk menempuh normal baharu yang sedang kita lalui ini kerana mungkin terdapat segelintir pentadbir berada zon yang berbeza. Bekerja dari rumah juga merupakan cabaran paling besar yang perlu dihadapi kerana individu tersebut bukan sahaja mempunyai masalah keperluan ICT namun perlu pandai mengagihkan masa dengan pengurusan kerja dan keluarga.

Dalam pada itu, Mohd Raizalhilmy pula berkongsi langkah-langkah yang perlu pentadbir lakukan untuk menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu semasa dan selepas COVID-19. Dengan normal baharu ini tanpa sedar kita telah menjadikan rakyat lebih kreatif dan inovatif  terutama dalam melakukan tugas. Banyak perkara yang pentadbir boleh lakukan sepanjang PKP ini di antaranya menambah ilmu mengenai medium dalam talian contohnya aplikasi  Zoom, Google Meet dan WEBEX sebagainya yang dahulunya mungkin tidak biasa namun kini telah menjadi kebiasaan. 

Beliau turut berkongsi tip bagi sentiasa bersemangat kerja dari rumah dengan memastikan ruang kerja yang baik dan mengingatkan tentang integriti yang tinggi supaya dapat melaksanakan amanah dan tangungjawab yang digalas. Selain itu,  pihak  Kaunselor turut perlu berperanan dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental pekerja seperti kemurungan, perasaan bimbang dan tertekan yang dilihat semakin banyak berlaku tatkala berdepan situasi PKP ini. Pihak MASTI kini sedang menjalankan kajian berkaitan dengan impak cara kerja dan kesan dari PKP serta COVID-19 dan hasil kajian ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua komuniti terutama pentadbir di universiti. Siri Bicara Pentadbir merupakan anjuran  PPTI UMP dengan kerjasama Jabatan Pendaftar dan Pejabat Naib Canselor ini disiarkan menerusi aplikasi Zoom dan Facebook UMP Malaysia serta Facebook PPTI baru-baru yang mendapat sambutan lebih 200 penyertaan dalam kalangan pentadbir universiti awam seluruh negara.   

Disediakan Nor Salwana Hj. Mohd. Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri