Skip to main content

Lagu ‘Kita Jaga Kita’ nyanyian mahasiswa UMP berunsur nasihat cegah COVID-19

Kuantan, 14 April- Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menyanyikan semula lagu yang berjudul “Kita Jaga Kita” hasil olahan dari lagu “Sakit” yang popular dan dinyanyikan oleh Zynnakal untuk memberi nasihat kepada rakyat Malaysia dalam berjuang membendung penularan wabak penyakit COVID-19 yang melanda negara di seluruh dunia.

Tampil kreatif mahasiswa yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan dan teknologi ini terpanggil untuk mencipta sesuatu ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana di Malaysia sejak 18 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada Nur Nissa Halimah Rahmat yang merupakan mahasiswa Fakulti Komputeran bersama dua lagi rakannya iaitu Haris Nufail Shamshul Azri dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif dan Dinie Almatin Asfarin dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam. Mereka juga merupakan dari Kelab Nyanyian Solo, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP.

Ketika ditemubual, Nur Nissa berkata, terlebih dahulu pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada Zynnakal  yang membenarkan menggunakan lagunya dan penasihat Kelab, Noor Afiza Mohd Azmi yang banyak memberi dorongan buat beliau dan rakan-rakan.

Ujarnya, penghasilan lagu ini sebagai usaha menyahut saranan kerajaan yang menyeru masyarakat agar sentiasa bekerjasama dan bersatu dalam memerangi wabak COVID-19. Beliau turut berkongsi pengalamannya dalam penghasilan lagu tersebut yang mengambil masa sehari.

“Pada awalnya kami mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan lirik yang berunsurkan nasihat. Kami akan menyanyi dan merekodkan di rumah masing-masing. Setelah proses merekod suara selesai kami berhubung dan menghantar bahan melalui e-mel untuk proses seterusnya,” ujarnya.

Walaupun sedang menjalani PKP di rumah, Nur Nissa tinggal bersama keluarga di Johor Bahru, Harris di Perak dan Dinie di Selangor namun, ia bukan penghalang buat mereka  menghasilkan lagu ini tambahan pula dengan kemudahan teknologi yang terkini. 

Beliau turut menceritakan antara cabaran yang ditempuhi iaitu capaian internet yang terhad namun ia bukan halangan besar. Tambahnya, lagu ini didedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang berjuang memerangi COVID-19.

Harapannya agar lagu ini dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada rakyat Malaysia di luar sana. Beliau percaya bahawa pesanan melalui lagu merupakan salah satu pendekatan yang sesuai bagi mereka yang menjalani PKP sama ada  di rumah mahu pun di kampus sebagai mengisi masa lapang.

Lagu ini telah dimuat naik di media sosial dan YouTube UMPTV dan dikongsikan di Facebook UMPMalaysia. Di antara seni kata liriknya adalah memohon kerjasama rakyat Malaysia untuk sama-sama perangi COVID-19, janganlah terleka, kesilapan ini bakal menjadi bahaya. Kena hati-hati, COVID-19 mudah dijangkiti dan penyakit ini tidak mudah untuk dihenti.

Dalam pada itu, selain sibuk memberi tumpuan terhadap pengajian masing-masing ketiga-tiga mahasiswa ini turut aktif dalam bidang nyanyian dan sering membuat persembahan di majlis-majlis rasmi universiti.

 

Lirik Lagu “Kita Jaga Kita”

Ini pesanan untuk semua

Bukalah hati bukalah mata

Ini pesanan untuk semua

Untuk elakkan dari corona

 

Wahai kawan kawan mari kita beri kerjasama

Bangkit wahai rakyat, marilah jaga Malaysia

Kita perangi corona janganlah kita terleka

Kesilapan ini bakal menjadi bahaya

 

Bila sorang sakit kena hati hati

Sakit dia bukan sakit sendiri

Covid-19 ini mudah dijangkiti

Penyakit ini tak mudah untuk dihenti

 

Mengerti

Kita mesti dengar arahan diberi

Kita mesti hentikan penyakit ini

Beri kerjasama jangan penting diri

 

Oh perintah kawalan, kawalan pergerakan

Jadi tolonglah pesan, aku tolong ingatkan

Duduk saja di rumah, duduk dengan keluarga

Ataupun kawan kawan, oh kita jaga kita

 

Oh rajinlah kau kerap cuci tangan

Ada barang diperlukan

Biar sorang je dapatkan

 

Ini pesanan untuk semua

Bukalah hati bukalah mata

Ini pesanan untuk semua

Untuk elakkan dari corona

Penyakit ini tumpas pabila kita kerjasama

Bangkit wahai kawan kita perangi corona

Polis askar doktor misi semua dah jaga negara

Just stay at your home guys kita jaga kita

 

Oh virus di serata

Jangan buat taktahu

Jangan kau buat gila

Semua pun kau sapu

 

Dah mayat berterabur

Kau masih takmengerti

Sampai kena sendiri

Baru nak takut mati

 

Biar kau buta mata

Jangan diminta maut

Maut tak kenal siapa

Nanti kau kecut perut

 

Biar harta tak mewah

Asalkan tak merungut

Diam saja dirumah 

Buat apa yang patut

 

Lagu asal: Sakit oleh Zynakal

Lirik :

-Nur Nissa Halimah binti Rahmat

-Haris Nufail bin Shamshul Azri

Penyanyi & Editor :

-Nur Nissa Halimah binti Rahmat

(Tahun 3 - Fakulti Komputeran)

-Haris Nufail bin Shamshul Azri

(Tahun 1- Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif)

-Dinie Almatin bin Asfarin

(Tahun 1 - Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam)

Video : Kumpulan Seni Suara Aural Adrenalin, Sekretariat Kebudayaan & Kesenian UMP dengan kerjasama Pusat Sukan &  Kebudayaan UMP.

Berita disediakan oleh Nor Salwana Mohd. Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri