Skip to main content

Mahasiswa FKMP terima Biasiswa Mercedes-Benz

Pekan, 13 Mac- Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Hassan Al Faiz Mohamed Ahmed Hafez yang sedang mengikuti pengajian program kerjasama UMP-HsKA iaitu Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif bertuah dipilih menerima biasiswa daripada Mercedes-Benz Malaysia (MBM) Sdn Bhd sepanjang pengajian di universiti ini.

Majlis menyaksikan Hassan Al-Faiz menandatangani perjanjian bersama Timbalan Presiden Operasi CKD Mercedes-Benz (M) Sdn. Bhd, Mr. Patrick Baur serta Pengurus Kanan Sumber Manusia MBM, Norlida Sharif sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dalam majlis yang berlangsung di MBM Pekan.

Bagi Hassan Al Faiz, 21 berkata, beliau tidak  menyangka  terpilih untuk menerima biasiswa ini, namun bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak MBM kerana memberi peluang   kepadanya. 

“Peluang ini pastinya akan saya gunakan sebaik mungkin dalam memanfaatkan ilmu yang dipelajari dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Manakala Patrick Baur pula berkata, pihaknya berbesar hati menganugerahkan biasiswa ini kepada Hassan Al Faiz yang merupakan pelajar kedua selepas Usamah Shamsudin yang merupakan bekas  graduan Program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik pada tahun 2017.

Dalam pada itu, Prof Ir Dr Wan Azhar pula merakamkan setinggi- tinggi penghargaan terima kasih kepada pihak Mercedes-Benz (M) yang mengiktiraf mahasiswa UMP dan sentiasa berkerjasama dengan UMP dalam menjalinkan hubungan baik sama ada dalam bidang penyelidikan, pembangunan akademik dan sokongan teknikal serta pembangunan modal insan melalui penawaran pembiayaan industri kepada pelajar program dwi- ijazah.

Mengikut rekod daripada Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), hanya 11 orang sahaja layak  mengikuti sesi penilaian oleh pihak MBM berbanding 21 permohonan yang diterima dan pihak MBM telah memilih Hassan Al-Faiz menerima manfaat biasiswa ini. Hadir sama dalam majlis Dekan FKMP Prof.Dr. Rizalman Mamat dan pensyarah FKPM, Dr Mohd Hasnun Arif Hassan.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohammad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri