Skip to main content

Menghayati Maulidur Rasul

Pekan, 11 Disember – Umat Islam perlu mengambil iktibar dan menghayati  Maulidur Rasul serta perjuangan yang dilalui baginda Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Pengkisahan keperibadian baginda Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengamalkan kesederhanaan wajar diteladani dalam kehidupan seharian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, dengan pengorbanan baginda dan para sahabatlah kita dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

Ujarnya, penganjurannya sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar satu upacara tahunan semata-mata, namun sebagai manifestasi kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW terutamanya dalam konteks kepimpinan.

“Dalam konteks perkhidmatan pula, kita sebagai staf atau mahasiswa ternyata banyak pengajaran dan nilai rahmat yang boleh diambil daripada sirah Rasullullah S.A.W untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita sehari-hari,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Mahyuddin Ismail.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441H peringkat UMP tahun ini yang bertemakan “Negara Rahmat, Ummah Sejahtera” dihadiri lebih 500 warga UMP yang  menyertai perarakan melibatkan sebanyak 21 kontinjen di Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan.

Majlis turut diserikan dengan Ceramah Khas dari Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIP, Al-Fadil Ustaz Muhammad Amin Abd Mutalib dengan tajuk Mencintai Rasulullah Hingga ke Syurga  dan persembahan Qasidah dari Pusat Pengajian Tahfiz Ribat Al-Mustafa, Sg Karang Kuantan.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri