Skip to main content

MTUN tawar Program Sarjana Muda Teknologi

Kuantan, 25 Jun- Inisiatif penawaran Program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology – B.Tech.) oleh Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia  (MTUN) yang terdiri daripada empat universiti awam iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dilancarkan hari ini merupakan satu pencapaian bersejarah dan mercu tanda yang amat penting dalam melengkapkan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

Pelancaran program disempurnakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ini merupakan isyarat penting kesungguhan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan TVET sebagai pemacu kemajuan Malaysia. Ianya juga akan menyegarkan semula aliran TVET Malaysia dengan nafas baharu yang mengangkat martabat TVET sebagai aliran pendidikan perdana, dan bukan lagi alternatif kelas kedua sebagaimana persepsi negatif sesetengah pihak sebelum ini.

Menurut Dr. Maszlee, sinergi pelbagai pihak yang merentasi pelbagai sektor dalam pembangunan kurikulum B.Tech. ini telah menjadikan program ini amat praktikal dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan negara kini dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Beliau merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan industri dan pakar-pakar dari Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Majlis Amanah Rakyat, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, MTUN dan MBOT yang telah bertungkus-lumus memerah minda dalam proses pembangunan kurikulum B.Tech. sehingga berjaya direalisasikan.

“Program ini juga telah ditanda aras dengan program Meister di Republik Persekutuan Jerman dan pihak Malaysia-German Chambers of Commerce and Industry (MGCCI) telah memaklumkan kesediaan untuk menjadi rakan kerjasama MTUN untuk memastikan para graduan B.Tech. ini turut menerima Meister Germany yang diiktiraf oleh lebih 400 syarikat yang bernaung di bawah MGCCI,” katanya dalam majlis pelancaran yang berlangsung di dewan Astaka UMP Gambang. Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah  Tapsir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.

Dalam pada itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, program Sarjana Muda Teknologi MTUN ini merupakan program artikulasi untuk pelajar lepasan DVM/DKM/DLKM untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran hands on untuk  mengiktiraf kemahiran aliran TVET sebagai agenda memperkasakan TVET.

Program ini bakal ditawarkan kepada calon-calon yang layak mulai sesi pengambilan pada bulan September ini meliputi sepuluh bidang teknologi iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak & Gas, Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Teknologi Pembinaan Bangunan, Teknologi Penyejukan & Penyaman Udara Industri, Teknologi Automasi Elektronik Industri, Teknologi Keselamatan Pekerjaan & Kesihatan dan Teknologi Hospitaliti mengikut bidang fokus setiap universiti MTUN berkenaan.

Selain itu, penawaran program ini adalah inisiatif artikulasi bagi maksud pensiswazahan lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) daripada pelbagai saluran institusi penyedia TVET di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan kemahiran kreatif-tangan (craftsmanship) dalam sepuluh bidang teknologi tersebut.

Turut berlangsung Siri Bicara Cendekiawan Mulia (Distinguished Scholar Discourse Series) yang julung-julung kalinya diadakan hasil inisiatif Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD) UMP yang merupakan satu gelanggang intelektual yang berprestij. Edisi pada kali ini menampilkan tokoh-tokoh terkenal dalam membincangkan mengenai tajuk “Cabaran Pemerkasaan TVET: Ke Mana Kita?” bagi berkongsi kepakaran masing-masing. Panel terdiri daripada Presiden Lembaga Teknologis Malaysia, Tan Sri Dato’ Academician Ir. (Dr.) Ts. Ahmad Zaidee Laidin, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman, Pendaftar Lembaga Teknologis Malaysia Ts. Mohd. Nazrul Marzuke dan Pengarah Pusat Inovasi & Daya Saing Akademik UMP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rusllim Mohamed sebagai  moderator.    

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim