Skip to main content
MyPACE Pupuk Minat Keusahawanan Mahasiswa UMP

MyPACE Pupuk Minat Keusahawanan Mahasiswa UMP

Kuantan, 19 September –Pusat Keusahawanan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang dikenali sebagai MyPACE menganjurkan majlis apresiasi bagi menghargai sumbangan  staf, penyelaras, pensyarah Technopreneurship dan mahasiswa universiti dalam menjayakan program keusahawanan  sepanjang tahun lalu.  

Menurut Pemangku Pengarah Pusat Keusahawanan, Datin Dr. Mazita Mokhtar, MyPACE menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan termasuklah memiliki inkubator sendiri dalam usaha memberi latihan kepada mahasiswa yang mempunyai kecenderungan mendalami bidang ini.

Sehingga kini pelbagai kegiatan dan pencapaian di antaranya UMP dijemput sebagai  penceramah dan berkolaborasi di peringkat global dengan pihak Binus University Jakarta, Padjajaran Universiti Bandung (UNPAD), Universiti Ahmad Dahalan, Jogjakarta, Institut Teknologi Malang dan Politeknik Malang. Malahan, MyPACE turut berkolaborasi dengan India Institute of Technology dan Judge Business School (Cambridge University).

“Selari dengan hasrat universiti dalam merealisasikan Pelan Strategik UMP 2016-2020 menerusi Lonjakan Strategik Keunggulan Akademik, Kelestarian Kewangan, Keunggulan Penyelidikan & Inovasi dan Kemampanan Sosio-Ekonomi dan Persekitaran, pihak MyPACE memerlukan bantuan dan kerjasama dari semua pihak yang terlibat secara langsung dalam aspek keusahawan di UMP untuk sama-sama  menjayakan sasaran ini,” katanya dalam majlis yang berlangsung di  Mangala Reort & SPA Gambang.

Selain daripada itu, sumbangan dana dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat diharapkan untuk melancarkan pelaksanaan program yang telah dirancang terutamanya membabitkan empat kelab keusahawanan di UMP iaitu Enactus, My Agrosis, Kosiswa dan Kelab Keusahawanan Fakulti.

Di peringkat tempatan pula, MyPACE berjaya mendapatkan khidmat konsultan dan kolaborasi dengan SME Corp dalam Program Tunas Usahawan Belia sejak 2014 dan bekerjasama dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, East Coast Economic Region (ECER) bagi profiling usahawan) dan UMP Advanced Education  bagi  latihan kepada kontraktor Malaysia.

Selain itu, MyPACE turut berkolaborasi dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang reka bentuk, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), SIRIM Berhad dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (PoliSAS).

Pihaknya berharap penglibatan aktif tenaga pengajar dan penyelia di peringkat fakulti dapat meningkatkan aktiviti keusahawanan serta menarik minat mahasiswa untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan semasa mahupun selepas tamat pembelajaran nanti. Ianya selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan graduan untuk mencipta pekerjaan dan bukannya mencari pekerjaan.

Lebih membanggakan MyPACE berjaya membawa sekumpulan usahawan siswa menimba pengalaman dalam dan di luar negara. Sebagai contoh, mereka mengikuti kursus pemborongan dan perniagaan atas talian di negara China dan menyertai program aktiviti keusahawanan di United Kingdom, India dan juga Indonesia.  

Disediakan oleh Nur Sa’adatul Afzan Jusoh dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad