Skip to main content

NC Seru Mahasiswa UMP Memperkaya Pengalaman Kampus

Kuantan, 29 November- Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) berhasrat melihat bahawa kepimpinan Majlis Perwakilan pelajar (MPP) Sesi 2018/2019 memainkan peranan yang besar dalam meluaskan worldview mahasiswa UMP supaya lebih cakna dan bertanggungjawab dalam soal pengurusan diri dan hal-ehwal mereka selepas ini.

Katanya, sebagai pemimpin, satu perkara yang perlu selalu diingati.. respect should be earned, not demanded. Keupayaan MPP untuk menzahirkan kepimpinan berimpak (impactful leadership) dengan tertib dan adab, profesionalisme komunikasi dan kualiti kerja. Kematangan kepimpinan yang dicirikan oleh diplomasi, konferensi dan kesusilaan sewajarnya diangkat sebagai watak dan wibawa MPP secara konsisten.

“Interaksi dengan pihak pengurusan melalui pelbagai saluran rundingan dan musyawarah yang harmoni dan profesional hendaklah dikekalkan. Para mahasiswa akan mula menilai prestasi dan wibawa barisan MPP ini untuk mengangkat agenda-agenda yang konstruktif terhadap pengayaan pengalaman kampus mereka di sini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Pelantikan & Angkat Sumpah MPP 2018/2019 yang berlangsung di Mangala Resort & Spa, Gambang.

Dalam hubungan tersebut, antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian serius oleh MPP ialah penyuburan budaya kegembiraan, kebahagiaan, hormat-menghormati dan kemanusiaan yang banyak kali dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Justeru, pihak MPP harus turut berperanan dan bertanggungjawab dalam mempromosikan keempat-empat budaya berkenaan melalui pelbagai program dan aktiviti supaya UMP terus harmoni dan berseri dengan suasana kampus yang kondusif untuk tujuan pengajian dan juga perpaduan.

Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir turut mengucapkan tahniah kepada urus setia mahasiswa atas keupayaan mereka menguruskan pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP)  kali ini dengan lancar, teratur dan tenteram tanpa sebarang masalah atau kejadian yang serius sepanjang proses pemilihan dan hari pengundian yang berlangsung pada 26 November lalu. 

Selaras dengan agenda pengupayaan mahasiswa oleh Menteri Pendidikan yang baharu, maka inilah pertama kalinya urusan pemilihan MPP dikendalikan sendiri oleh mahasiswa. Kejayaan eksperimen ini memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk terus mengekalkan penglibatan mahasiswa semaksimum mungkin dalam urusan pemilihan MPP yang akan datang. Perkembangan positif ini tidak hanya signifikan dalam konteks pengayaan pengalaman kampus mahasiswa, tetapi turut penting bagi memberi pendedahan kepada aspek akauntibiliti, ketelusan dan integriti proses sebagai asas tadbir urus cemerlang organisasi.

Majlis menyaksikan seramai 25 barisan kepimpinan MPP yang diketuai Yang Di-Pertua MPP 2018/2019, iaitu Zakwan Zulkifle dari Fakulti Kejuruteraan  Mekanikal, menerima watilkah pelantikan dan mengangkat sumpah berjanji menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Bagi Zakwan, MPP akan memainkan peranan sebagai pengantara antara mahasiswa dan pengurusan universiti agar suara mereka boleh didengari. Perkara itu akan menjadi elemen utama buat beliau selepas diberi kepercayaan untuk memimpin MPP yang mewakili mahasiswa UMP. Meskipun hubungan antara pengurusan universiti dan mahasiswa telah sedia terjalin, namun ianya perlu ditambahbaik.

Beliau juga akan sedaya upaya menyediakan platform kepada mahasiswa bagi meningkatkan Unique selling Factor tanpa mengira fakulti. Turut menjadi perhatian termasuklah memperkasa peranan MPP, berkolaborasi antara kelab dalam universiti dan isu kebajikan mahasiswa. 

Pihak universiti turut menghargai sumbangan barisan kepimpinan MPP 2017/2018 yang diketuai Yang Di-Pertua MPP 2017/2018, Muhammad Amrun Aniq Saidi. Hadir sama dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr.Yusserie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd Hamid Majid.

 

Disediakan oleh Mohamad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim