Skip to main content

Pasangan Kembar Teruja Terima Sumbangan Kelengkapan Sekolah

Pekan, 27 Disember – Dua pasangan kembar teruja  untuk kembali ke sesi persekolahan yang tinggal beberapa  hari sahaja lagi apabila menerima sumbangan kelengkapan sekolah dalam Program Kembali Ke Sekolah `Give Them Our Heart, Give Them Hapiness’   di Mydin Pekan. Mereka merupakan di antara 34 penerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah Program Back To Schoolanjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama UMP Holding Sdn Bhd.

Bagi pasangan  Farish Daniel Johari dan Faris Danish Johari, 9,  dan Nur Syaza  Anna Wardina Mohd. Zali dan Nur Syaza Anna Mashitah Mohd. Zali,10, berasa sungguh gembira dan tidak sabra untuk melangkah ke sekolah. Malahan mereka tidak menyangka dapat sumbangan kelengkapan pakaian sekolah baharu untuk  sesi persekolahan ini.

Bagi Daniel, beliau amat gembira pada hari ini kerana dapat memilih sendiri pakaian, beg dan kasut  yang diminati. “Sebenarnya saya tidak mengharapkan untuk mendapatkan pakaian baharu kerana faham dengan kesulitan ayah yang hanya bekerja kampung dan ibu yang tidak bekerja," katanya.

Ibu kepada pasangan kembar Daniel dan Danish, Rozilaili Rashid, 36 berkata, keluarganya  amat bersyukur dan berterima kasih kepada kepada UMP dan UMP Holding (UMPH) juga pihak yang sudi membantu mereka dengan menyediakan kelengkapan ini.  Malah dengan adanya bantuan ini dapatlah membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Manakala menurut Pengurus Besar UMP Technology Sdn Bhd, Dr. Nur Aainaa Syaffini Mohd Radzi, program kerjasama ini membabitkan sukarelawan UMP dan UMPH yang berganding bahu bagi melaksanakan program Back To School pada kali ini.

“Program ini bertujuan untuk membantu ibubapa dan pelajar yang memerlukan sama ada yang berpendapatan rendah mahupun anak yatim. Pada masa yang sama kita turut berkongsi kesusahan bersama masyarakat sekeliling UMP,” katanya yang hadir bertemu dan menjamu selera bersama anak-anak serta keluarga di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak Pekan.

Tambahnya lagi, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMP dengan kerjasama UMP Holding Sdn Bhd. Beliau mengharapkan sumbangan ini dapat meringankan bebanan ibu bapa khususnya mereka yang mempunyai anak yang ramai dalam menyediakan keperluan persekolahan yang tinggal beberapa hari lagi. Pihaknya juga menghargai sumbangan warga kampus, individu dan pihak luar yang turut sama menyumbang bagi membantu merigankan beban keluarga ini.

Selain itu memberikan mereka semangat baharu untuk belajar dengan lebih bersungguh- sungguh untuk berjaya. Program turut dihadiri Presiden Persatuan Wanita UMP, Prof. Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim. Seramai 20 sukarelawan membabitkan staf UMPH, Pejabat Naib Canselor, Jabatan Pendaftar dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi hadir menjayakan program.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri