Skip to main content

Pendaftaran digital sesaat, pelajar baharu UMP mendaftar serentak di dua kampus

Kuantan, 7 Februari – Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenalkan pendaftaran secara digital kepada seramai 460 pelajar baharu ambilan Februari yang dijangka hadir dalam sesi pendaftaran yang berlangsung di kedua-dua kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini bagi mengikuti pengajian pra siswazah.

Dengan kemudahan aplikasi pendaftaran menggunakan Sistem Baharu Mobile Apps eRegistration berasaskan Kod QR ini memberikan kemudahan buat pelajar untuk mendaftar dengan mengambil masa sesaat sahaja. Mereka hanya perlu memaparkan Kod QR pada telefon bimbit masing-masing dan petugas akan mengimbas Kod QR tersebut. Pelajar baharu UMP boleh mula memuat turun aplikasi ini  namun pendaftaran masih boleh dilakukan dengan menggunakan slip asrama yang mana pada slip asrama juga turut disediakan Kod QR untuk kegunaan pada hari pendaftaran ini. 

Pada sesi pendaftaran ini, universiti  turut  menerima seramai 28 pelajar antarabangsa antara termasuklah Arab Saudi, Egypt, Pakistan, Sudan, Mauritus, Yemen dan China. Manakala seramai 36 pelajar antarabangsa daripada Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA) Jerman, Institut Teknologi Indonesia, Suleyman Demirel University (Kazakhstan), United International University (Bangladesh), Universitas Negeri Semarang (Indonesia), HITEC University (Pakistan) dan Kongu Engineering College (India) bakal mengikuti program mobiliti selama satu semester di UMP.

Pada masa yang sama, Yayasan UMP turut menyampaikan sumbangan Insentif Pendidikan UMP dan Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat buat 16 pelajar yang berkelayakan. Sumbangan disampaikan oleh Timbalan naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Ts Mohd Rosli Hainin dan Dekan Perkhidmatan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mansur Sulaiman menyampaikan sumbangan bagi pelajar yang berada di UMP Gambang. Hadir sama di Pejabat Kolej Kediaman 3 adalah Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr Khairul Salleh Abdul Basit.

Berikutan dengan keprihatinan UMP berhubung sebarang risiko ancaman penyebaran jangkitan seperti Novel Coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan warga universiti mahupun rakyat Malaysia secara umum, baru-baru ini pengurusan UMP telah membuat beberapa keputusan sebagai langkah proaktif bagi pencegahan dan pengawalan maksimum memandangkan universiti turut mempunyai pelajar antarabangsa dari China. Buat masa ini, semua aktiviti dan perjalanan bagi staf dan pelajar ke China dan negara-negara yang telah dijangkiti ditangguh serta-merta akibat penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov).

Ianya termasuklah menasihatkan staf dan pelajar yang akan ke China agar membuat penangguhan perjalanan selain bersedia menjalankan saringan rapi terhadap warga UMP yang baru kembali dari China sama ada yang kembali daripada cuti semester atau pelajar yang baharu tiba di Malaysia.

 “Pihak universiti turut meminta pelajar yang kembali daripada cuti semester atau baharu pulang dari China untuk menjalani saringan kesihatan setempat di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum meneruskan aktiviti masing-masing. Selain mengikuti prosedur saringan kesihatan di lapangan terbang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka juga perlu mengikuti saringan kesihatan di universiti bagi memastikan tiada ancaman dan risiko terhadap warga UMP yang lain,” ujar Dr Khairul.

UMP turut mengambil langkah proaktif dengan mengedarkan maklumat mengenai langkah pencegahan yang menepati saranan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan KKM. Manakala Pusat Kesihatan Universiti (PKU) juga sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenai wabak ini melalui saluran rasmi universiti.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri