Skip to main content

Pengiktirafan UMP buat warga cemerlang dan komuniti terima anugerah

Warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang merupakan sebahagian daripada komponen perkhidmatan awam Malaysia perlu lebih kreatif, inovatif dan bijaksana dalam menghasilkan kerja yang berkualiti dengan budaya kecemerlangan dan integriti. Dengan ekosistem korporat dan berautonomi, setiap warga harus lebih bersedia untuk menerima sebarang arus perubahan dalam memantapkan tadbir urus perkhidmatan awam dengan lebih cekap seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, selain penstrukturan baharu organisasi pentadbiran yang menekankan aspek perkongsian tanggungjawab dan pembangunan bakat antara komitmen lain pihak pengurusan UMP kini akan meneruskan pelaksanaan sistem pengurusan prestasi Pay for Performance (P4P) dengan beberapa inisiatif penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapannya.

“Penting untuk warga kerja UMP terus berusaha meningkatkan momentum prestasi berdasarkan bidang tugas dan tanggungjawab di jabatan masing-masing. Keupayaan untuk menjana kecemerlangan berasaskan prestasi konsisten dan nilai murni merupakan pra syarat penting untuk menjadikan UMP terus gemilang melalui Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang akan direka bentuk tidak lama lagi,” ujarnya yang hadir dalam Majlis Hari Kualiti dan Inovasi yang berlangsung di UMP Gambang.

Hadir merasmikan program Pengarah Scomi Transit Project Sdn Bhd, Rohaida Ali Baharuddin yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.

Berkongsi pemgalamannya bagi Rohaida, dalam konteks kumpulan syarikat Scomi yang beroperasi di lebih 20 buah negara serata benua dengan cabaran budaya, bahasa dan perundangan yang berlainan memerlukan konsistensi dan pelarasan kualiti melalui prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan terperinci. Justeru, beliau menasihatkan warga UMP agar bersiap siaga meneroka ilmu pengetahuan dan kepakaran serta melakukan anjakan minda untuk berdepan dengan cabaran global manakala kepimpinan adalah kunci utama kecemerlangan universiti.

Dalam majlis ini seramai 149 staf UMP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan seramai 20 orang menerima hadiah pencapaian prestasi cemerlang dalam pelbagai lapangan. Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Mohd. Najib Razali menerima Anugerah Kualiti Kerjasama Industri (Staf Akademik). Beliau berjaya menghasilkan produk G-Grease (green grease from industrial waste oil) dan G-Treats (bio-coagulant treatment) yang telah diterima oleh dua ‘big market’ (consumer product) iaitu TNB Research Sdn Bhd dan Orca GreenTech Sdn Bhd.

Anugerah Kualiti Kerjasam Masyarakat (Staf Akademik) diraih Ts Dr Saifful Kamaludin Muzakir @ Lokman daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri. Beliau merupakan antara penggiat utama dalam menyokong menjayakan agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Sains (STEM) antaranya program Saintis Turun Ke Desa, Lighting up the Community, Kem Saintis Muda dan merupakan antara Pencetus kepada inisiatif yang dipanggil Renaissance of Science Educators (R.O.S.E).

UMP turut mengiktiraf CIDB Malaysia yang menerima Anugerah Rakan Industri Terbaik. Kerjasama ini  mewujudkan ekosistem Model Informasi Bangunan (BIM) bersama UMP bagi transformasi nasional melibatkan projek berimpak tinggi bagi transformasi industri pembinaan Malaysia seperti mewujudkan ekosistem BIM, penggubalan dasar dan polisi, pemindahan teknologi & pengetahuan, pembangunan modal insan, pembangunan infrastruktur. UMP juga melalui inisiatif BIM telah mentransformasikan industri dari kaedah konvensional kepada pembinaan secara digital (digital construction) ke arah menyokong kepada revolusi perindustrian IR 4.0 seperti yang dirangka dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP). Dalam majlis ini CIDB Malaysia diwakili oleh Pengarah CIDB negeri Pahang, Saini Saidi.

Manakala menjayakan agenda memasyarakatkan teknologi, UMP turut mengiktiraf pihak KRT Taman Mutiara Perdana yang menjayakan Program Program 1 Rumah 1 Kebun (1R1K). Dengan bimbingan pensyarah UMP yang telah menyalurkan ilmu dan memasyarakatkan teknologi kepada penduduk taman ke arah penggunaan sumber alam, kehijauan, pertanian bandar dalam meningkatkan sumber ekonomi suri rumah dengan aktiviti yang dianjurkan. Pencapaian ini diperkasakan apabila komuniti telah meneruskan inisiatif tersebut dan berjaya menghasilkan penjanaan pendapatan kepada rakan kebun, isi rumah dan komuniti itu sendiri melalui dua cara iaitu imbuhan pendapatan dari hasil kebun kepada individu melalui jualan produk kebun seperti sayuran dan ulaman serta Imbuhan Pendapatan kepada Organisasi (KRT) – melalui Tabungan Komuniti iaitu jualan produk baja AB, racun organik dan set hidroponik. Hadir menerima hadiah adalah Setiausaha KRT Taman Mutiara Perdana, Zulkhairi Md. Ghani.

Sebanyak enam kategori hadiah dan anugerah yang akan disampaikan terdiri daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Sukan, Anugerah ICT (K-Portal), Anugerah Penerbitan, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (AKKKP), Anugerah Kecemerlangan Industri & Masyarakat (AKIM).

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri