Skip to main content

Pensyarah UMP Cipta Pelindung Muka DIY Guna Semula

Pekan, 10 April- Semangat ingin membantu para petugas kesihatan yang berdepan kekurangan bekalan peralatan alat pelindung diri (PPE), memberikan inspirasi buat tiga pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) berganding bahu mengambil inisiatif sendiri mencipta dan menghasilkan pelindung muka bagi membantu petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19 yang sedang menular di negara ketika ini.

Mengambil masa selama tiga hari mereka bertiga, Dr. Zamzuri Hamedon, Dr. Ismayuzri Ishak dan Khairul Fikri Muhammad daripada Fakulti Teknolgi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) berkongsi idea dan berbincang. 

Dengan sokongan dekan fakulti, usaha ini akhirnya berjaya menghasilkan pelindung muka  ringkas , ringan, kos yang murah dan sesuai digunakan. Kumpulannya yang dibentuk sejak 24 Mac lalu, turut menyumbang pelbagai idea dan prototaip bagi reka bentuk pelindung muka yang dihasilkan sebelum proses percetakan akhir.

Ketika dihubungi, Dr Zamzuri berkata, peringkat awal pelindung muka yang dihasilkan  dengan mendapatkan pandangan dan reaksi daripada Pengarah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Norazmi Abdullah dan Ketua Jabatan Kecemasan HTAA, Dr Badli Sham Baharun.

“Mengambil kira kesesuaian dan keselesaan pemakai, dalam tempoh dua hari akhirnya kami berjaya menyediakan 30 set pelindung muka untuk diedarkan buat kali pertamanya kepada para petugas HTAA. Sejak itu kami menerima permintaan daripada kenalan terdekat dan petugas kesihatan,” katanya.

Pelindung muka melalui teknologi percetakan tiga dimensi (3D) yang dikenali sebagai Reusable DIY Face Shield  (RDF) ini terdiri daripada headband, getah gelang dan plastik transparent bersaiz A4 yang mudah diperolehi.  Sesuai dengan situasi sekatan perjalanan dan akibat akibat kekangan penghantaran ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka mula membuat penghantaran menggunakan kiriman pos (postage).

Jika pada peringkat permulaan, mereka hanya mampu  menyiapkan antara 50 hingga 60 set sehari, namun kini pihaknya menemui kaedah terbaharu yang mampu menghasilkan antara 150-200 set sehari.

Dalam pada itu, setiap pek bungkusan mempunyai 5 set pelindung muka RDF dan dilengkapi dengan manual penggunaan. Lebih menjimatkan pengguna boleh mengguna semula antara 3 hingga 4 kali bergantung kepada tahap pengunaan dan mereka juga dinasihatkan menggunakan sanitasi untuk memastikan ia bersih sebelum dan selepas pengggunaan.

Edaran juga dibuat kepada staf kesihatan dan keselamatan universiti,  hospital dan klinik kesihatan di sekitar Negeri Pahang seperti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HOSHAS), Hospital Temerloh, Hospital Jengka, Klinik Kesihatan Peramu Jaya dan Pusat Kesihatan Daerah Pekan. 

Pihaknya juga telah menyediakan sebanyak 150 set untuk Badan bukan kerajaan, Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) untuk diedarkan di hospital dan klinik. 

Kini, sebanyak 1000 set pelindung muka berjaya dihasilkan dan diedar secara berperingkat dan percuma buat barisan hadapan di fasiliti kesihatan dan hospital kerajaan serta swasta di negeri ini. Bermula dengan pesanan tempahan daripada rakan-rakan terdekat kini pelindung muka ini telah diedar di seluruh Malaysia sehingga ke utara tanah air.

Ini termasuklah digunakan petugas di Hospital Pekan, Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Seri Manjung, Hospital Pakar KPJ Shah Alam, Klinik Kesihatan Nilai, Klinik Kesihatan Mentakab, IPD Kuantan dan banyak lagi.

 “Pelindung muka RDF lebih ringan, saiz yang kecil selesa dipakai dan tidak panas disebabkan bahagian atas terbuka. Namun apa yang lebih penting ianya mudah dipakai dan menjimatkan kerana ia boleh diulang guna. Malahan plastik yang menutup di bahagian muka ini juga boleh diganti semula dengan plastik yang ada dijual di kedai-kedai,” katanya.

Dalam usaha menjayakan inisiatif ini, pihaknya menghargai sokongan pengurusan UMP terutamanya Naib Canselor, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Dekan FTKPM, Prof. Madya Ir. Dr. Faiz Mohd. Turan.  

Selain itu, pihaknya juga berhubung  dengan koordinator Komuniti Percetakan 3D Malaysia untuk COVID-19 dalam bersama-sama membantu mencipta pelindung muka melalui teknologi percetakan tiga dimensi (3D). Walaupun berdepan dengan kekangan dalam tempoh PKP, pihaknya mengharapkan usaha ini dapat membantu barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan yang mengendalikan kes-kes COVID-19.   

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri