Skip to main content

Perpustakaan UMP Laksana Program Waste4Fine Bayar Denda Guna Botol Minuman

Kuantan, 18 Mac- Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membenarkan pembayaran denda lewat pemulangan bahan menggunakan botol minuman plastik atau tin yang mula dilaksanakan sejak 13 Mac lalu menerusi program Waste4Fine sebagai menyokong inisiatif program UI Greenmetrics yang sedang dijalankan di universiti ini.

Menurut Pemangku Ketua Pustakawan UMP, Dzull Zabarrod Ahmad berkata, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula di samping membolehkan mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan membuat pembayaran dengan menggunakan alternatif ini.

“Kadar diskaun yang tinggi ditawarkan oleh pihak perpustakaan iaitu bagi setiap botol untuk pembayaran denda iaitu bagi botol bersaiz kurang dari 1000 mililiter akan mendapat diskaun 10 sen manakala botol bersaiz melebihi 1000 mililiter dengan harga 20 sen,” katanya.

Dalam pada itu hari pembayaran menggunakan botol minuman ini dihadkan setiap hari Rabu sahaja dan mengikut jadual operasi perpustakaan. Pengguna juga dibenarkan untuk membuat pembayaran penuh ataupun sebahagian denda dengan menggunakan botol plastik atau tin minuman.

Sementara itu, Pustakawan UMP, Wan Nurulhuda Wan Zakaria berkata, staf yang bertugas di kaunter sirkulasi akan mengemas kini rekod denda di dalam sistem perpustakaan dan memberi resit pembayaran kepada pengguna yang telah selesai melakukan pembayaran dengan kaedah pertukaran tersebut. Pihaknya juga bakal mengadakan Majlis Pelancaran Waste4Fine yang dijadual pada 17 April 2019 (Rabu) depan bertempat di Perpustakaan Pekan dan menggalakan warga UMP untuk turut sama menjayakan program ini. 

UMP juga telah  melaksanakan Kempen “Let’s Break Up with Single-Use Plastic” bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus. Ianya adalah usaha berterusan hasil inisiatif Jawatankuasa Kelestarian UMP di bawah Kluster Pengurusan Sisa dalam menyemai kesedaran menghapuskan penggunaan single-use plastics di UMP. Pelbagai program telah dilaksanakan pihak Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini termasuklah “MYTAPAU” yang membolehkan mahasiswa diberikan insentif sekiranya mereka menggunakan bekas makanan sendiri untuk membungkus makanan di kafeteria universiti.

UMP tersenarai pada kedudukan ke- 97 terbaik dunia dan ke-6 terbaik di Malaysia dalam Penarafan UI Greenmetrics World University Ranking 2018 berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini.  

Disediakan oleh Wan Nurulhuda Wan Zakaria dari Perpustakaan UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri