Skip to main content

Persatuan Alumni Graduan UMP agih sumbangan buat Frontliner

Kuantan, 3 April- Sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus menangani jangkitan Covid-19 ketika ini, Persatuan Alumni Graduan UMP (Alumni UMP) telah menggerakkan usaha dengan mengagihkan cecair pembasmi kuman sanitasi tangan (hand-sanitizer) kepada Bahagian Keselamatan UMP dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.

Menurut Timbalan Presiden Alumni UMP, Mohd Najib Razali berkata, sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat semasa negara berdepan dengan ancaman penularan wabak Covid-19 dengan memberi fokus bantuan terhadap arisan hadapan yang bekerja keras untuk memutuskan rantaian virus ini.

“Persatuan menyumbang sebanyak 30 unit botol sanitasi tangan  berkapasiti 1 liter dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,500. Sanitasi tangan ini juga merupakan produk keluaran UMP melalui anak syarikatnya iaitu UMP Technology Sdn Bhd (syarikat milikan penuh UMP Holdings Sdn Bhd). Sumbangan ini turut diserahkan buat petugas di Bilik Gerakan UMP dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan,” katanya baru-baru ini.

Persatuan Alumni UMP juga kini telah melancarkan ‘Tabung triUMPH Frontliners’ dengan kerjasama UMP Holdings Sdn. Bhd (UMPH). Tabung ini bertujuan untuk membekalkan air minuman kepada barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus bertugas memerangi wabak ini. Inisiatif ini dizahirkan berasaskan kesedaran apabila kebanyakan mereka ini bekerja secara purata 15 hingga 18 jam sehari, maka amatlah penting untuk memastikan hero-hero negara ini terus kekal berhidrasi dan bertenaga.

Tambah beliau, barisan hadapan ini boleh diibaratkan sebagai perwira yang sanggup memperjudikan nyawa serta mengorbankan tenaga dan masa untuk menangani wabak yang sedang menular di negara ketika ini. 

Bagi orang ramai yang ingin membantu bolehlah berbuat demikian dengan menyumbang ke tabung ini atas nama Persatuan Alumni Graduan UMP melalui akaun Maybank (5562226414032) dengan meletakkan rujukan (DRINKING). Pesanan buat semua, bersama-samalah kita membantu barisan hadapan kita untuk mengatasi wabak ini dengan mempromosikan #KitaJagaKita.

Disediakan oleh Mohd. Ferdaus Musa daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri