Skip to main content

Peserta Fun Walk Berjalan Sambil Kibar Jalur Gemilang

Pekan, 15 Ogos- Lebih 100 warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjayakan program Fun Walk : 1000 Langkah Merdeka dengan berjalan beramai- ramai sambil mengibarkan jalur gemilang sejauh 1.2 kilometer bermula daripada Pusat Aktiviti Pelajar menuju ke Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan.

Hadir menyempurnakan acara pelepasan peserta ialah ahli Lembaga Pengarah UMP, Prof. Dato Dr. Rosli Mohd Yunus. Ketibaan peserta disambut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan  Yusoff yang menerima jalur gemilang daripada ketua pasukan, Nur Adam Maximillian daripada Pusat Sukan dan Kebudayaan. Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Prof. Dato Dr Rosli Abu Bakar.

UMP mengekalkan sambutan meraikan bulan kebangsaan setiap saban tahun dengan menampilkan program Gaya Hidup Sihat dan kali ini dengan program Fun Walk : 1,000 Langkah Merdeka sebagai menyokong inisiatif Gaya Hidup Sihat yang dilaksanakan di universiti ini.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, semangat peserta yang membawa Jalur Gemilang menampakkan semangat patriotik yang amat menebal dalam kalangan warga UMP amatlah membanggakan. Ianya sebahagian daripada acara yang dirancang dalam memeriahkan sambutan yang istimewa ini sebagai manifestasi patriotisme terhadap tanah air.

“Slogan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.Semoga ianya bertepatan serta memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi,” katanya dalam Majlis Perasmian Fiesta Sayangi Malaysiaku Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat UMP.

Pelbagai  acara yang diatur sempena sambutan Bulan Kebangsaan ini berupaya menampilkan perspektif patriotisme yang unik dalam konteks peranan UMP sebagai sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan. 

Manakala perspektif patriotisme yang unik ini seharusnya menjadi satu perkongsian kepada warga UMP khasnya dan masyarakat amnya, terutamanya generasi muda untuk menghayati erti dan nilai kemerdekaan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.

Turut berlangsung penyerahan jalur gemilang kepada wakil-wakil jabatan dalam menjayakan kempen kibar jalur gemilang di pejabat masing-masing. Lain-lain program yang bakal dilaksanakan adalah Pertandingan Video Pendek, Bicara Cendekiawan Mulia, Aspirasi Merdeka, Jelajah Sayangi Malaysiaku dan Pameran Hari Kebangsaan di Perpustakaan UMP.