Skip to main content

Program Chem E Car hasil pelajar sekolah berdaya cipta

Kuantan, 22 November- Seramai 60 pelajar tahun empat, lima dan enam Sekolah Kebangsaan  (SK) Bunut Rendang menyertai program Chem E Car anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini yang diadakan di sekolah berkenaan.

Menurut pengarah program, Prof. Madya. Ts. Dr. Hamzah Ahmad berkata, program kolabarasi bersama pihak sekolah ini berjaya memberi pendedahan awal dan menyuntik semangat pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. 

Selain itu juga dapat melahirkan modal insan yang berdaya saing misalnya dalam program ini pelajar diberi pendedahan dalam penghasilan kereta menggunakan bahan terbuang seperti  batang ais  krim dan penutup botol.

“Melalui aktiviti ini mereka berupaya membentuk kreativiti dan kebolehan berfikir di luar kotak. Selain taklimat dalam penghasilan kereta tersebut, pasukan kami turun padang untuk bersama-sama membantu pelajar ini. Kami dapati pelajar menunjukkan minat dan fokus dalam penghasilan reka cipta ini.” Katanya.

Tambahnya lagi, selaras dengan tagline UMP dengan memasyarakatkan universiti, pihaknya sentiasa membantu guru dan pelajar untuk berkongsi teknologi yang terdapat di UMP terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).  

Manakala bagi Guru Penolong Kanan SK Bunut Rendang, Rosnawati Khashmi, program kolabrasi julung kali dianjurkan ini berjaya menarik minat para pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik  dan melahirkan pelajar yang bermotivasi tinggi. 

Beliau sendiri tidak menyangka dengan tempoh dua jam sahaja pelajar dapat mencipta kereta mengikut kreativiti kumpulan masing-masing. Beliau amat menghargai komitmen pasukan dari UMP dan merancang untuk meneruskan program. Bagi pelajar, Abdul Muiz Abdul Syukur,10, sangat teruja apabila beliau dan dua lagi rakannya  berjaya menyiapkan kereta dengan pantas dan tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam program ini pada masa akan datang.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat   

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim