Skip to main content

Program Pensijilan Tahfiz Ulul Albab UMP Lahir Teknokrat Hafiz

Kuantan, 28 Disember- Program Pensijilan Tahfiz Ulul Albab yang diperkenalkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal melahirkan golongan profesional, teknokrat dan usahawan hafiz yang memiliki pelbagai kemahiran ilmu kepada mahasiswa. Dengan matlamat memberikan pendidikan seimbang dunia dan ukhrawi kepada mahasiswa, program Perintis Jurutera Huffaz yang dijalankan oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) melibatkan seramai 41 orang mahasiswa membabitkan dua kohort pengambilan bagi mengikuti program ini selama empat tahun.

Dengan sasaran hafaz 30 juzuk Al-Quran, mahasiswa ini juga perlu mengikuti modul yang ditetapkan antaranya, Adab Hamalatul Quran, Asas Qiraat, Asbabun Nuzul, Tafsir Ayat-ayat Pilihan dan Kursus Asas Bahasa Arab.

Berlangsung hari ini majlis penyampaian sijil penyertaan kepada peserta  Ulul Albab UMP bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMP tahun 2018/ 1440 H yang disambut dengan perarakan 29 kontinjen yang bergerak dari Kompleks Sukan UMP menuju ke Masjid UMP.

Hadir merasmikan program adalah Naib Canselor UMP, Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd. Hamid Majid dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang juga Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd. Rahman Hj. Safie.

Dalam majlis ini, Prof Dr. Daing Nasir berkata, penganjuran sambutan yang merupakan program tahunan universiti ini menunjukkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W sebagai junjungan besar lagi agung yang dizahirkan melalui sambutan dan perhimpunan ini turut menuntut warga UMP untuk mencontohi segenap aspek akhlak dan kehidupan Baginda sepanjang hayatnya.

“Dalam konteks perkhidmatan kita sebagai staf atau pengajian para mahasiswa sebagai penuntut ilmu, ternyata banyak pengajaran dan hikmah yang boleh diambil daripada sirah Rasulullah S.A.W untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita sehari-hari.Antara aspek akhlak Rasululullah yang penting untuk kita hayati adalah cara pengurusan dan pendekatan kepimpinan Baginda dalam mengendalikan organisasi dan pengikut yang dipimpinnya dengan berkesan,” katanya.

Ujarnya, sekali pun kampus universiti agak sepi pada penghujung Disember 2018 dan minggu persediaan peperiksaan akhir Semester 1 ini, namun kita masih dapat mengimarahkan sambutan pada hari ini walaupun dalam suasana yang serba sederhana. Selain itu, melalui pelbagai kisah dan riwayat, kita telah dikhabarkan mengenai keunggulan nilai integriti Baginda sebagai pemimpin yang sewajarnya turut mendasari peranan kita sebagai penjawat awam di Universiti ini.

Program turut menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Muhadir Haji Joll yang membicarakan tentang kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang boleh dijadikan teladan umat Islam masa kini. Lebih 600 warga universiti hadir meraikan Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri