Skip to main content

Sinergi UMP dan AKEPT dalam Program Latihan Kepimpinan 

Pekan, 1 Ogos-  Pihak Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) memperbanyakkan program libat sama (engagement) dengan semua Universiti Awam terhadap aspek kepimpinan dan apa jua dimensi yang berkaitan dengan tadbir urus dalam melestarikan pengurusan bakat berteraskan kompetensi. 

Berlangsung baru-baru ini penganjuran program Leadership Cafe & Individual Leadership Advancement Plan (ILeAP) dengan kerjasama AKEPT bagi membincangkan pemprofilan personel ke arah kelestarian organisasi bagi mengenal pasti bakat pelapis yang bersesuaian dan berkelayakan untuk dibangunkan sebagai pemimpin institusi pada masa hadapan. 

Lebih 30 orang dalam kalangan barisan kepimpinan tertinggi universiti hadir dalam program yang turut dihadiri Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Nordin Yahaya, Timbalan Pengarah Centre For Leadership Profiling (CELP) AKEPT, Prof. Madya Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Prof Madya Dr Mohd. Ridzuan Darun.  

Menurut Prof Ir Dr Wan Azhar, hanya pemimpin boleh membawa perubahan yang positif. Dalam usaha ini UMP turut menggerakkan inisiatif pemprofilan kompetensi dalam kalangan staf berdasarkan jawatan dan tahap peranan secara berstruktur dan terancang bagi memastikan himpunan bakat yang dilahirkan mempunyai ciri-ciri kepimpinan di universiti dan di peringkat nasional. 

Manakala Profesor Dr. Nordin berkata, pihaknya menghargai komitmen UMP dan UMP Advanced yang bekerjasama dengan pihak AKEPT bagi penawaran program Diploma Program Eksekutif iaitu Professional Diploma In Competency Based Talent Management (CBTM)  yang merupakan langkah terkehadapan bagi memperkasa kepimpinan bakat-bakat yang ada dalam institusi di negara ini. 

“AKEPT juga berperanan dalam memberikan laporan terhadap calon yang bakal dilantik untuk pemilihan di peringkat kementerian. Antara laporan ini termasuklah skor kepimpinan, maklumat berkaitan pencapaian akademik, penerbitan, penyelidikan dan tanggungjawab di peringkat antarabangsa serta jaringan kerjasama,” katanya dalam program yang berlangsung di Ancasa Royale Hotel Pekan. 

Ujarnya, laporan ini hanya melayakkan calon dipertimbangkan dan sesi temubual akan menilai kesesuaian dalam memegang jawatan. Beliau menasihatkan agar barisan kepimpinan universiti dapat menghadiri modul kepimpinan yang ditetapkan dan mendapatkan maklumat dan aktiviti yang dijalankan memandangkan proses ini dibuat secara sistematik.  

Dalam sesi ini juga memfokuskan mekanisme yang telah diaplikasikan pihak AKEPT dalam memprofil kepimpinan pendidikan dan berkongsi hasil profil bagi memperkasa kompetensi kepimpinan individu. 

Malahan melalui  hasil profil ini akan membantu individu mengenalpasti kekuatan dan penambahbaikan kopentensi kepimpinan masing-masing  dengan mengikuti program-program pembangunan yang disediakan pihak AKEPT.   

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim