Skip to main content

Siswazah baharu UMP mula mendaftar

Kuantan, 5 Februari – Terserlah kegembiraan buat siswazah baharu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Md. Nahidul Islam, 24, yang berasal dari negara Bangladesh tatkala hadir dalam sesi pendaftaran siswazah baharu dengan ditemani rakan senegaranya, Atik Faysal bagi mengikuti pengajian sarjana penyelidikan dalam bidang elektronik dan kejuruteraan komputer hari ini.

Menurut Atik yang telahpun mengikuti pengajian di UMP Pekan, pengalamannya yang telah mengikuti pengajian di sini lebih awal memudahkannya membantu rakannya dan turut hadir sama menyambut rakannya sebaik sahaja tiba di Kuantan.

“Tidak sabar untuk membawa Md. Nahidul ke tempat menarik sekitar Kuantan dan lokasi tempat makan yang sesuai dengan cita rasa mereka. Malahan kami juga tiada masalah mendapatkan makanan yang sesuai di kafe dalam kampus,” ujarnya.

Begitu juga dengan dua rakan senegara Abdul Wahab, 27 dan Arshad Ali Khan, 29 yang berasal dari Pakistan yang bakal mengikuti pengajian kedoktoran (PhD) di universiti ini turut mendaftar serentak hari ini teruja untuk memulakan pengajian.

Manakala Vigneswaran Narayanamurthy , 23 dari negara India turut berkongsi kejayaan apabila dapat hadir pada sesi pendaftaran kali ini. Bakal mengikuti pengajian kejuruteraan kimia, UMP amat sinonim baginya memandangkan suaminya merupakan alumni di universiti ini.

Mereka ini adalah sebahagian daripada 72 orang siswazah baharu yang mendaftar bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) pada hari pendaftaran yang berlangsung di Dewan Astaka, UMP Gambang hari ini bermula pada jam 9.30 pagi. Jumlah ini melibatkan seramai 22 siswazah mengikuti PhD, 23 siswazah Sarjana Sains (Penyelidikan) dan 27 siswazah kerja kursus dan campuran. Dalam pada seramai lapan orang siswazah antarabangsa turut mendaftar dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat.

Pendaftaran pelajar pasca siswazah itu dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim. Beliau turut mengambil peluang untuk memperkenalkan barisan staf IPS kepada siswazah baharu untuk memudahkan urusan berkenaan pengajian di masa hadapan.

Pihaknya berharap bilangan siswazah baharu akan bertambah, terutamanya siswazah antarabangsa. Malah, perancangan promosi akan lebih banyak dijalankan terutama kepada negara-negara yang sedang bergolak di Timur Tengah untuk menarik mereka meneruskan pengajian di UMP. Malahan lebih menarik lagi, biasiswa untuk mereka juga disediakan. 

“Peluang ini juga digunakan untuk memperkenalkan siswazah baharu dengan senior dan secara tidak langsung, mereka didedahkan dengan proses pendaftaran dan pengurusan program. IPS turut menawarkan kursus elektif yang memberi “tambah nilai” (value added) kepada siswazah yang mana menekankan kepada kompetensi dalam penulisan dan pembentangan thesis. Ianya dapat membantu siswazah menghasilkan tesis dan kajian yang lebih tepat, tetapi “personal coaching” ini dihadkan untuk 30 orang siswazah sahaja,” katanya.

Beliau berharap pihaknya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada siswazah dari segi kebajikan, aktiviti dan program dan seterusnya merasai kehidupan kampus yang menyeronokkan.

Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat