Skip to main content

“Terima Kasih Wiraku” - Operasi penghantaran pulang pelajar UMP dan IPT Zon Timur berjalan lancar

Kuantan, 14 Mei 2020 - Operasi penghantaran pulang pelajar diteruskan lagi dengan menghantar pulang pelajar ke destinasi Labuan, Sabah dan Kuching, Sarawak melibat seramai 18 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Pahang.

Ini termasulah seorang pelajar daripada Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang terkandas di Jengka, Pahang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Para pelajar ini memulakan pergerakan sekitar jam 12.30 tengah malam menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti saringan kesihatan bagi memastikan pelajar yang benar-benar sihat sahaja layak meneruskan perjalanan. 

Pelajar turut mendapat pengesahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala proses sanitasi dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. 

Mereka turut dibekalkan dengan makanan ringan di dalam bas dan makanan untuk bersahur.

Turut berlangsung acara penyampaian penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu menjayakan Operasi Penghantaran Pulang Pelajar IPT ini. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga merupakan  Pengerusi Operasi Penghantaran Pulang Pelajar IPT Zon Timur hadir bagi menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat sepanjang operasi sejak 30 April yang lalu.

Pada masa yang sama, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie turut merakamkan ucapan penghargaan kepada PDRM melalui Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta UMP, Bahagian Keselamatan dan pihak lain yang terlibat.

Menurut beliau, UMP dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat menghargai usaha dan komitmen yang tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh semua petugas barisan hadapan.

“Meskipun pelajar perlu melalui proses penilaian dan saringan yang ketat namun perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dipatuhi.

“Kita bukan sahaja menguruskan pergerakan pelajar UMP tetapi melibatkan semua pelajar IPT di seluruh Pahang. 

“Malah UMP juga dilantik sebagai Sekretariat bagi menyelaraskan pergerakan pulang pelajar di Zon Timur,” kata Profesor Dato' Dr. Yuserrie lagi.
 
Manakala Pengurus Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), UMP, Haryani Abdullah berkata, sehingga kini terdapat hampir 400 orang pelajar UMP yang masih berada di dalam kampus berbanding 1,260 pelajar keseluruhan yang terkandas sebelum ini. 

“Berdasarkan data di Bilik Kawalan Operasi dan Bencana (BKOB) UMP, sekitar 6,500 orang pelajar Zon Timur telah diselaraskan universiti untuk dihantar pulang manakala terdapat sebahagian pelajar merupakan mereka yang ingin pulang ke Borneo.

“Pihaknya akan menunggu arahan seterusnya dari kerajaan negeri terlibat dan KPT bagi menguruskan penghantaran pulang baki pelajar yang tinggal berdasarkan perkembangan semasa. 

“Setelah kelulusan diperoleh, pihak JHEPA akan menghubungi pelajar yang terlibat dan mengatur pergerakan dengan sebaiknya,” katanya. 

Tambah beliau lagi, pelajar juga sentiasa dititipkan nasihat agar sentiasa menjaga kesihatan diri, menjaga jarak sosial yang selamat dan terus kekal berada di dalam rumah. 

“Semoga komitmen kita ini akan dapat membantu kerajaan menghapuskan pandemik COVID-19 ini,” ujar beliau. 

Disediakan Oleh : Mohd. Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS