Skip to main content
UMP antara 150 universiti muda terbaik dunia

UMP antara 150 universiti muda terbaik dunia

Pekan, 24 Jun 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai antara 101-150 universiti berusia di bawah 50 tahun terbaik dunia dalam Penarafan QS Top 50 Under 50 yang diumumkan oleh agensi penarafan pendidikan tinggi dunia, Quacquarelli Symonds baru-baru ini. 

Tahun ini menyaksikan UMP tersenarai buat kali kedua dan UMP juga merupakan satu-satunya universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (RUTM) tersenarai di dalam kelompok ini.

Dalam usia 18 tahun, UMP dilihat mampu menawarkan kualiti pendidikan, penyelidikan, khidmat komuniti dan penglibatan industri yang setanding dengan nama-nama besar lain. 

Kini universiti mempunyai seramai 26,217 graduan dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 96 peratus mendapat pekerjaan.

Menurut Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti UMP, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad, sebagai usaha memperkukuhkan lagi peranan UMP dalam memajukan dan mengembangkan pelajaran tinggi dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) aras tinggi, Pelan Strategik UMP Tahun 2021-2025 yang sedang dibangunkan akan memberikan lebih tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan keupayaan teknikal negara.

“Antaranya ialah melalui penawaran program akademik yang dipacu oleh industri bagi bertujuan untuk melahirkan graduan holistik TVET aras tinggi. 

“Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada jalinan kerjasama antara UMP dan industri bagi meningkatkan lagi keupayaan teknikal kedua-dua pihak.

“Dalam pada itu, elemen penerokaan pengetahuan baharu melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam bidang berkaitan juga terus diberi penekanan,” katanya. 

Bagi mencapai hasrat ini, jelas beliau, elemen kelestarian kewangan UMP dan pemantapan ekosistem universiti turut diberi tumpuan dalam pelan strategik ini seperti yang dihasratkan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.

Ujarnya, semoga usaha berterusan ini akan terus menjadikan UMP sebagai antara universiti muda yang dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan teknikal negara.

Pengumuman ini turut menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi universiti pertama di Malaysia tersenarai tempat ke-10 terbaik dunia. 

Diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tempat ke-13, Taylor’s University (49) dan UCSI University (51-60). 

Universiti-universiti lain yang tersenarai ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP) (61-70), Universiti Utara Malaysia (UUM) (81-90), Management and Science University (MSU) (81-90) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (91-100).

Selain UMP turut tersenarai dalam kelompok 101-150 adalah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Sunway University.

Disediakan oleh:  Hazlina Faizal, Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti dan Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News