Skip to main content
UMP kongsi kepakaran, pasukan Dex-Rac menang Kejohanan Dunia F1 In Schools

UMP kongsi kepakaran, pasukan Dex-Rac menang Kejohanan Dunia F1 In Schools

Singapura, 9 September - Hasil jaringan strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan sekolah kluster membuahkan hasil apabila pasukan Dex-Rac Racing dari Sekolah Menengah Sultanah Hajjah Kalsom menerima anugerah FIA Women in Motorsports dalam pertandingan F1 in Schools World Finals di Singapura baru-baru ini. Pasukan ini terdiri daripada empat ahli iaitu Ainul Jannah Hasim, 17, Nur Sabrina Riduan, 17 Nur Alia Natasha Amizi, 17 dan Sofiyya Nabilah Azuddin Shah, 16.

Bersaing dengan 50 lagi pasukan dari pelbagai negara, pasukan Dex-rac Racing telah mendapat tempat ke-9 secara keseluruhan dan merupakan pasukan dari Asia yang berada sebaris dengan pasukan-pasukan dari Eropah serta melayakkan mereka berada di kedudukan tiga tempat teratas dalam pencalonan anugerah Innovative Thinking Award dan Resilience Award.

Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff , guru pembimbing bersama pelajar ini kerap mengadakan perundingan berkaitan penggunaan teknologi pembangunan prototaip dalam pemesinan dan penggunaan perisian rekabentuk dan analisis serta membina hubungan dengan pelajar universiti dari Indonesia dan Jerman sebagai persiapan model F1.

Dengan dibantu Pembantu Teknikal, Shahandzir Baharom pasukan Sekolah Menengah Sultanah Hajjah Kalsom yang merupakan sekolah angkat atau kluster FKP sejak tahun 2012 ini telah berjaya mengharumkan nama UMP di persada tanah air dan antarabangsa di Amerika dan Singapura.

“Banyak pengalaman dan kepakaran diperolehi hasil kerjasama baik UMP dalam usaha membantu pihak sekolah mencipta kejayaan dalam dan luar Negara. Malahan, kerja keras tenaga pengajar dari fakulti menjadi suntikan semangat buat pasukan yang turut menyumbang terhadap kesungguhan pelajar untuk mendalami bidang kejuruteraan dan menanam minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilaksanakan di universiti ini,” ujar beliau.

Katanya, sekolah ini juga berjaya menjadi johan dalam pertandingan F1 in Schools Peringkat Zon Timur setiap tahun sejak tahun 2012 sehingga tahun ini termasuk berjaya menjadi johan keseluruhan pertandingan peringkat kebangsaan ini untuk tiga tahun berturut-turut. Selain itu, hubungan strategik dengan sekolah kluster ini turut membabitkan penawaran perkhidmatan kepakaran staf fakulti serta berjaya menonjolkan identiti UMP di persada antarabangsa.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri