Skip to main content
UMP,Petron pupuk kesedaran keselamatan jalan raya

UMP, Petron pupuk kesedaran keselamatan jalan raya

Kuantan, 24 September- Seramai 1300 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai menyertai aktiviti Cabaran Amazing Race dalam memupuk kesedaran Keselamatan jalan raya bersempena Program Petron Road Safety  yang diadakan di UMP Gambang baru-baru ini. 

Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor UMP (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof.Dato' Dr. Yusserie Zainuddin, Ketua Keselamatan, Sekuriti,Kesihatan dan Alam Sekitar Korporat Petron Malaysia, Lokman Hani.

Hadir sama Pengarah Jabatan  Pengangkutan Jalan Negeri Pahang, Mohammad Abdullah, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Pahang, Noor Jihati Abdul Kadir dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UMP,Muhammad Hairynizam Muhd Taib.

Menurut Prof.Dato' Dr. Yusserie,  pihak universiti  merakamkan penghargaan kepada Petron Malaysia kerana memilih UMP  antara tujuh lokasi penganjuran Petron Road Safety Programme pada tahun ini.

Ujarnya, UMP sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan dan swasta untuk mengelolakan inisiatif seumpama ini  bagi memanfaat masyarakat terutama melibatkan mahasiswa universiti.

“Peredaran zaman telah mengubah lanskap pemikiran dan cara penerimaan generasi muda yang lebih tertarik kepada bentuk penyampaian advokasi dan pendidikan kepada mereka. Justeru, saya percaya program advokasi yang bersifat kreatif dan santai ini dapat diterima generasi muda, “ katanya.

Selain itu, elemen pembelajaran aktif dalam kandungan program ini dapat disampaikan dengan berkesan mengenai kesedaran keselamatan jalan raya dalam suasana yang santai.

Tambah beliau, dalam mengimpikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bukan sahaja berpendapatan tinggi tetapi juga berbudaya tinggi, maka sikap rakyat negara ini mengenai etika di jalan raya perlu terlebih dahulu ditransformas dan mengharapkan lebih banyak program seumpama ini pada masa akan datang.

Manakala Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Korporat Petron Malaysia, Lokman Hani pula berkata, pihaknya teruja dalam memperkenalkan Program ini yang dapat memupuk tabiat keselamatan jalan raya dan tahun ini merupakan tahun keempat penganjurannya melibatkan lebih 7000 mahasiswa. 

Pihaknya percaya menerusi program ini dapat mencapai lebih ramai mahasiswa dan mengajar mereka untuk memastikan perjalanan di atas jalan raya lebih selamat dan mencegah kemalangan.

Dalam pada itu, cabaran keselamatan jalan raya "Amazing Race" Petron menggunakan pendekatan yang menyeronokkan, menarik dan interaktif. Pasukan mahasiswa ini akan bersaing bagi menyelesaikan empat pitstop keselamatan jalan raya yang terdiri daripada kuiz keselamatan jalan raya,pengenalpastian tayar yang rosak,pentafsiran papan tanda keselamatan jalan raya dan penyelesaian ujian tempat letak kereta termasuk cabaran manuever motosikal. 

Program ini merupakan anjuran  Petron Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Jabatan Pengangkutan Jalan,Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR).

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri