Skip to main content
UMP rai pengamal media Pahang

UMP rai pengamal media Pahang

Kuantan, 26 November- Program Sepetang Universiti Malaysia Pahang (UMP) Bersama Media memberi peluang pihak pengurusan universiti dan pengamal media meluangkan masa dan mengeratkan lagi hubungan baik serta menghargai komitmen media terutamanya dalam membuat liputan program-program universiti. 

Dengan publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media sejak penubuhan UMP pada 17 tahun lalu, masyarakat awam kini telah mengenali UMP dan mengetahui peranannya dalam melahirkan jurutera dan teknologis yang berdaya saing.

“UMP sangat berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada pihak agensi media dalam usaha menyampaikan perkembangan dan kecemerlangan universiti kepada khayalak ramai serta berkongsi kecemerlangan universiti apabila diiktiraf dalam kelompok 200 universiti terbaik Asia oleh QS University Ranking Asia: 2019,” kata Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim yang hadir dalam majlis. 

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid, Pengurus Besar Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd. Rahman Hj Safie, Ketua Biro NSTP, Abd. Razak Raaf, Ketua Biro Bernama, Noor Shamsiah Mohamed dan  Ketua Biro Sinar Harian, Nik Amirul Mu’min. 

Dalam majlis yang sama turut berlangsung Pra Pelancaran Kejohanan Badminton Media Piala Naib Canselor UMP yang bakal berlangsung pada 13 Disember depan dalam  menyokong aktiviti kesukanan dan membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media. Dalam pada itu seramai 60 wartawan dan jurugambar  hadir memeriahkan program. Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Seni Tari Kencana Pawana UMP.

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Norhidayah binti Mohamad