Skip to main content

UMP tangguh P&P sehingga 14 April depan

Pekan, 27 Mac- Susulan  pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dan arahan penutupan semua lnstitusi Pendidikan Tinggi (IPT),  Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan semua operasi perkhidmatan dan tiada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) termasuk dalam talian dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 14 April 2020.

Keputusan ini juga merujuk saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pengendalian program akademik di setiap institusi pendidikan tinggi tatkala negara berdepan dengan pandemik penularan wabak Covid-19 di negara ini. 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin berkata, keputusan ini mengambilkira keberadaan pelajar di lokasi masing-masing di mana majoriti pelajar telah berada bersama keluarga di kampung dan atas kepentingan keselamatan dan kebajikan pelajar.

“Tempoh PKP selama lebih empat minggu dalam menangani penularan wabak Covid-19 ini pastinya memberi kesan terhadap jadual pengkuliahan di semua institusi pendidikan termasuk UMP. Justeru, pihak Universiti juga akan membuat pindaan terhadap kalendar akademik bagi Semester II Sesi 2019/2020 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Senat Universiti yang bakal bersidang pada 1 April depan,” katanya.  

Berdepan dengan situasi ini juga, universiti turut bersedia untuk mengaktifkan mod P&P secara dalam talian (e-learning) dan bagi memantapkan kaedah pembelajaran ini, Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) telah mengadakan beberapa siri latihan secara dalam talian kepada staf akademik.  

Ujarnya, kursus ini merangkumi kepelbagaian pelantar dan aplikasi, kaedah P&P dan pilihan dalam pengendalian penilaian secara dalam talian yang boleh disesuaikan dengan kursus pengajian yang diikuti pelajar. Malahan setiap fakulti juga telah mengambil tindakan bagi menyediakan bahan dan aktiviti P&P secara dalam talian dengan memilih strategi yang bersesuaian untuk meneruskan keperluan tanpa mengganggu pengkuliahan.

Dari aspek aplikasi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) UMP yang dinamakan KALAM, sistem ini telah dibuat uji lari sejak awal Februari lalu semasa keperluan penggunaan pelajar pada tahap yang optimum secara serentak dengan capaian internet kepada sistem ini di waktu puncak.

Sehingga kini, sebanyak 65 peratus kursus yang ditawarkan oleh UMP telah mencapai tahap pembelajaran teradun yang merangkumi P&P dalam talian secara asas. Pelajar berada dalam kelompok celik IT dan mampu mengadaptasikan penggunaan teknologi P&P yang digunapakai selain berpengalaman dengan sistem ini.  

Hasil kajian maklumbalas yang dijalankan universiti ke atas pelajar baru-baru ini juga mendapati lebih 80 peratus pelajar bersedia menggunakan e-Learning dan baki hampir 20 peratus kurang bersedia kerana berada di kawasan yang mempunyai liputan capaian internet yang rendah. Untuk itu, para pensyarah mempunyai beberapa alternatif sama ada untuk mengadakan sesi P&P secara segerak (synchronous) atau secara tidak segerak (asynchronous) mahupun mengadakan P&P berasaskan tugas-tugas tertentu.  

Berada dalam tempoh PKP ini, beliau menasihatkan pelajar memanfaatkan masa ini dengan membuat ulangkaji setelah menjalani kuliah selama lima minggu sebelum tempoh PKP tempoh hari dan sekiranya mempunyai akses internet dapat dimanfaatkan untuk berinteraksi bersama pensyarah dan rakan dalam memantapkan pemahaman.

Pihak universiti turut memastikan keselamatan dan kebajikan seramai lebih 800 pelajar yang berada di dalam kampus termasuklah menyediakan makanan, kit kebersihan dan memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang baik serta menjaga jarak sosial semasa berhubung bagi mengelakkan aktiviti berhimpun. Buat warga kerja, nasihatnya agar terus istiqamah dalam menjalankan kerja (work from house) selain bersedia melaksanakan arahan yang diberikan demi menjamin kualiti akademik terus terpelihara ke arah kecemerlangan universiti.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri