Skip to main content

UMP terima sumbangan bantu mahasiswa

Kuantan, 7 April- Kira-kira seramai 1,260 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang masih berada di kampus sentiasa dipantau dan diberi perhatian oleh pengurusan UMP bagi memastikan kebajikan mereka dijaga. Ini berikutan terdapat sebilangan daripada mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sepanjang PKP ini berlangsung, universiti menerima bantuan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan penyediaan makan untuk mahasiswa. Turut sama menyumbang makanan daripada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Cawangan Kuantan, pihak Yayasan Sabah buat seramai 165 mahasiswa dari Sabah dan pihak Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses yang menaja makan buat seramai 80 mahasiswa fakulti berkenaan.

Menurut Pengurus Bahagian Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Zainal Haji Bahari, UMP sentiasa memantau dan memastikan mahasiswa mematuhi arahan sepanjang PKP berlangsung. Mereka juga dinasihatkan cakna dengan info pencegahan penularan wabak Covid-19 dan penjagaan kesihatan yang dikeluarkan oleh UMP melalui hebahan di portal ataupun di media sosial.

 “UMP juga turut menguruskan bantuan makanan secara percuma setiap hari kepada semua pelajar yang berada di kampus melalui pengetua dan felo Kolej Kediaman masing-masing. Melalui kaedah ini pergerakan mahasiswa dapat dihadkan dan seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak ini. Agihan ini akan dibantu diuruskan oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, UMP Campus Pantry telah mengumpulkan keperluan asas dan makanan kering hasil sumbangan program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak luar antaranya daripada Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (MyFundAction) dan sumbangan perseorangan untuk kegunaan mahasiswa UMP di kampus.

Selain itu, kebajikan mahasiswa di luar kampus turut tidak diabaikan dan pihak universiti turut menyediakan kemudahan yang sama seperti mereka yang berada di dalam kampus.

Pihaknya menghargai pihak penaja yang banyak menyumbang terutamanya pihak Yayasan Food Malaysia, KPDNHEP, Gardenia Bakeries Sdn Bhd, Etika Beverages, Mondalez, Legasi Sufi, Pejabat Ahli Parlimen Paya Besar dan terbaharu dari Pejabat Ahli Parlimen Pekan. Antara barangan yang disumbangkan adalah seperti makanan bermasak, makanan kering, minuman dan kit kebersihan.

Turut menyumbang pihak Yayasan UMP sebanyak 20 ribu untuk kegunaan sepanjang PKP ini. Manakala pihak Persatuan Alumni UMP menyumbang cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) dan JK Bencana Negeri Pahang menyumbang sebanyak 1000 keping topeng muka untuk kegunaan mahasiswa.

UMP sangat menghargai sumbangan dan keprihatinan kerajaan dan syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka kepada pelajar  sebagai usaha mengurangkan beban pelajar sepanjang PKP ini.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh disalurkan melalui Bilik Kawalan Operasi dan Bencana UMP yang merupakan pusat sehenti bagi menguruskan segala urusan berkaitan Covid-19 yang melibatkan semua warga UMP. Bagi warga UMP yang mempunyai pertanyaan atau bermasalahan sepanjang tempoh PKP ini bolehlah menghubungi petugas Bilik Kawalan Operasi dan Bencana UMP di talian 09-4246999 atau 09-549 3333.

Disediakan Mohd Ferdaus Musa daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS