Skip to main content

UMP utamakan kebajikan dan keselamatan pelajar

Kuantan, 3 April - Keputusan Kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 31 Mac sehingga 14 April depan disifatkan sebagai langkah terbaik yang dilakukan kerajaan dalam memerangi penularan wabak Coronavirus (Covid-19) di negara ini. Di sepanjang tempoh ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan semua operasi perkhidmatan dan tiada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) termasuk dalam talian dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 14 April 2020.

Dalam pada itu, UMP turut membuat penjadualan semula kalendar akademik Semester 2 dan Semester Pendek Sesi 2019/2020 yang mana pengkuliahan bakal bermula pada 1 Jun depan setelah mengambil kira aspek keselamatan dan usaha untuk membanteras penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Berkongsi kisah buat pelajar yang masih kekal tinggal di kampus, bagi Pengetua Kolej Kediaman 4, Nasrul Salim Pakheri berkata, pihak Jabatan Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Kolej Kediaman Pelajar mengambil inisiatif dalam tempoh PKP fasa dua ini dengan meneruskan program kebajikan dengan menyediakan makanan pagi, tengahari dan malam dengan peruntukan yang diberikan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta sumbangan pihak luar buat pelajar dalam kampus dan mereka yang tinggal di luar kampus.

Penganjuran program bersifat maya (online) turut dilaksanakan di Kolej Kediaman (Siswa) seperti mencipta video pendek, mencipta permainan (online) serta berkongsi poster berkonsepkan nasihat bagi memastikan  masa pelajar diisi dengan membuat perkara yang berfaedah. Begitu juga di Kolej Kediaman (Siswi) pula program yang diadakan termasuklah pertandingan nyanyian, pertandingan mencipta tagline #Staysafe, pertandingan melukis dan pertandingan pantun sempena Covid-19.

Dalam masa yang sama pelajar sentiasa diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan seperti mencuci tangan dan mengambil langkah pencegahan seperti kekal jarak 1 meter antara individu dan tidak berkumpul.

Menurut pelajar dari Fakulti Sains & Teknologi Industri, Tuan Muhamad Asani Tuan Ibrahim, 22  berkata, PKP yang dijalankan oleh pihak kerajaan merupakan inisiatif yang bijak dalam menangani wabak Covid-19 ini rentetan daripada PKP fasa pertama yang telah dijalankan sebelum ini menunjukkan kesan yang positif.

“Sebagai mahasiswa yang menetap di kampus universiti dalam situasi pandemik sekarang ini, saya merasakan diri saya selamat berada di kampus universiti. Pihak keselamatan universiti memandang serius tentang sekatan masuk terhadap orang luar ke dalam kawasan universiti,” katanya.

Dalam pada itu, dari sudut kebajikan mahasiswa, pihak universiti telah mengambil peranan yang terbaik dalam menyediakan semua kelengkapan harian kepada semua mahasiswa yang berada di kampus. Antara contoh, setiap pengetua dan felo kolej kediaman bertanggungjawab terhadap pengagihan makanan kepada penghuni kolej kediaman masing-masing termasuklah kit kebersihan dan makanan sampingan daripada Campus Pantry UMP yang dibekalkan pihak Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Program Food Bank Siswa. 

Beliau amat bersyukur kerana pihak universiti mengambil peranan yang sewajarnya terhadap golongan mahasiswa yang berada di kampus. Dalam pada itu, secara tidak langsung pendekatan yang diambil oleh pihak universiti mengurangkan kerisauan para pelajar.

Selain itu juga, pergerakan pelajar di sini turut dipantau dengan baik. Sebagai contoh, pihak keselamatan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan terhadap penghuni di sini bagi memastikan mereka mengikuti arahan PKP dengan baik.  

Bagi pelajar Kolej Kediaman 3, Siti Nur Nabirah Amran 22 dari Fakulti Pengurusan Industri berkata, pihak kolej kediaman juga amat menitik beratkan hal ehwal kebajikan para pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman. Pihak kolej juga menganjurkan pelbagai aktiviti menarik contohnya baru-baru ini telah diadakan pertandingkan mencipta 'hashtag' kreatif  sebagai aktiviti dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.   

“Pengalaman ini sungguh berharga dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan warga UMP terhadap kami yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat. Marilah bersama-sama kita berdoa agar penularan wabak penyakit yang melanda negara kita ini beransur pulih dan kita bebas daripada Covid-19,” ujar Siti Nur Nabirah.

Disediakan Oleh Siti Nur Azwin Binti Zulkapri daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri