Skip to main content

Kumpulan kedua pelatih PLKI-ECRL mendaftar

Seramai 128  pelatih berjaya terpilih untuk mengikuti kumpulan kedua pekerja profesional bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRl) mendaftar pada hari pertama di UMP Gambang kelmarin. Hadir bertemu pelatih pada hari pendaftaran, Pengarah Akademi Industri Rel (RIA) UMP, Dr Fadzil Mat Yahaya yang hadir bersama Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Prof. Dr. Rizalman Mamat yang juga Ketua Koordinator Program PLKI- ERCL UMP.

Menurut Dr Fadzil, pelatih ini terdiri daripada daripada 24 graduan diploma dan 104 graduan sarjana muda dari pelbagai institusi pendidikan tinggi di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut jumlah pelatih lelaki lebih tinggi berbanding pelatih perempuan iaitu dengan jumlah 83 orang manakala perempuan seramai 45 orang. Mereka akan mengikuti program selama 3 bulan bermula Februari sehingga awal bulan Mei 2018 nanti.

RIA dipertanggungjawabkan mengurus pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi (IPT),” katanya.

 

Katanya,  kumpulan pertama graduan PLKI-ECRL seramai 49 orang yang terdiri daripada 28 pemegang ijazah dan 21 pemegang diploma yang telah menamatkan latihan. Mereka kini memulakan tugasan di bawah MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) serta subkontrator CCCC. 

 

UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal  yang menjadi peneraju Program Latihan kemahiran Industri (PLKI) ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), MRL dan CCCC.

 

Kini dianggarkan pengambilan pelatih ambilan kedua program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma ini melibatkan seramai 150 pelatih dalam dua sesi temuduga yang dijalankan di UMP Gambang dan UITM Shah Alam.  Pelatih terdiri daripada Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (60), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Ijazah Sarjana Muda  Mekanikal (60) dan Diploma Kejuruteraan Awam (30). Latihan akan dijalankan di UMP Gambang (Kejuruteraan Awam) dan Pekan (Kejuruteraan Mekanikal).

 

Selain itu seramai 700 belia dari seluruh negara akan dipilih menyertai Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) bagi meningkatkan kemahiran serta pengalaman dalam industri rel di negara ini pada tahun ini.

 

Tambah beliau, selepas ini beberapa siri pengambilan pelajar lagi akan ditawarkan kepada belia seluruh Malaysia secara berperingkat samada pekerja professional mahupun pekerja berkemahiran dan dijangkaka permohonan baharu bagi pekerja berkemahiran lepasan Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan dibuka pada bulan Mac nanti,. Walau apapun semua pemakluman akan dihebahkan dari masa ke semasa melalui laman web dan media sosial.

Dalam pada itu roadshow pengambilan pelatih peringkat sijil kali kedua pula dijangka bermula pada 19 Mac 2018 depan dengan menumpukan bidang keperluan industri  antaranya Concreter, Bar bender, Form worker, Welder, Wireman – Electrician, Tester, Crane Operator, Wheel Loader Operator di lokasi terpilih iaitu Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas ,IKTBN Wakaf Tapai, Politeknik Dungun (Terengganu), Kolej Komuniti Temerloh (Pahang) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Bagi peserta program,  Mohammad Zahirul Amin Ahmad Tarmizi,26, yang merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Awam dari  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersyukur kerana terpilih menyertai program ini serta  berharap dapat berjaya dalam bidang industri ini. Manakala menurut Nor Lizdayatul Syazwani bt Azman, 23 yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Petronas (UTP) berasa bertuah kerana baharu sahaja menamatkan pengajian di UTP pada Disember lalu dan terus berpeluang untuk menyertai program ini.   

Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Laila binti Afandi