Skip to main content

Perintis pertama PLKI –ECRL tamat latihan, tingkat pekerja industri rel Malaysia

Seramai 136 pelatih yang merupakan pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang telah menjalani latihan Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI- ECRL) di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok Kelantan dan  Akademi Binaan Malaysia (ABM) dirai dalam Majlis Ramah Mesra Pelatih PLKI- ECRL anjuran Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL) yang berlangsung di Hotel Perdana Kota Bharu Kelantan. Mereka ini telah berjaya menamatkan latihan sebagai pekerja mahir dan akan bekerja sebagai pengkonkrit, pekerja acuan konkrit, pelentur bar, pengendali ekskavator hidraulik, pengendali wheel loader dan penguji.

Turut dirai kumpulan pertama graduan PLKI-ECRL seramai 49 orang yang terdiri daripada 28 pemegang ijazah dan 21 pemegang diploma yang telah menamatkan latihan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) . Mereka kini memulakan tugasan di bawah MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) serta subkontrator CCCC. UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal  yang menjadi peneraju Program Latihan kemahiran Industri (PLKI) ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), MRL dan CCCC.

Hadir menyampaikan sijil tamat latihan, Menteri Pendidian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato Sri Darwis Abdul Razak dan Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sr. ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim  dan Pengara Projek CCCC, Fang Zhenru.

Menurut Dato Sri Darwis, menjelang tahun ini seramai 700 pekerja akan dilatih atau 19.5 peratus daripada jumlah sasaran seramai 3600 peserta. Usaha meningkatkan kemahiran ini memberi peluang seramai 200 pekerja professional dan 500 pekerja berkemahiran untuk terlibat dalam pembangunan prasarana sel sepanjang 688 kilometer yang akan menghubungkan Lembah Kelang dengan negeri-negeri di Pantai Timur.

“Kesemua graduan secara automatik ditawarkan jawatan dan program ini akan melatih seramai 3600 pelatih dari tahun 2017 hingga 2022 melalui tajaan RM23 juta oleh CCCC di bawah tanggungjawab sosial korporatnya. Usaha ini turut menyokong terhadap penubuhan Pusat Kecemerlangan Rel Negara dalam menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi poendidikan rel negara,” katanya.

Sementara itu, Prof Dato’ ts Dr. Daing Nasir berkata, kepakaran dan pengalaman UMP dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam bidang teknikal ini begitu relevan dalam menyumbang terhadap kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi merealisasikan projek ini.

Selain itu, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi. Malahan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.

Konsep latihan berbentuk meningkatkan kemahiran sedia ada dan baharu (upskilling dan reskilling) berkaitan dengan bidang rel. Pelatih akan mengikuti latihan dalam tempoh 3 bulan sebelum mereka diberikan sijil tamat kursus latihan.

Dalam pada itu, tenaga pengajar bagi program ini terdiri daripada tenaga akademik yang mempunyai pengalaman luas, kompetensi dan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang pembinaan. Pihak Beijing Jiaotong University (BJTU) akan terlibat melalui sesi train of trainers (ToT) bagi perkongsian pengetahuan dan teknologi terutama dalam bidang pengangkutan kereta api kepada tenaga pengajar tempatan. UMP juga akan bekerjasama dengan pihak Southwest Jiaotong University (SWJU) bagi perkongsian pengetahuan dan tekologi dalam bidang pengangkutan keretapi.

 

Pada masa ini juga UMP melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal memperkenalkan Program Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Operasi dan Penyelenggaraan Sistem Rel) sebagai kursus elektif  yang  mula ditawarkan pada semester ini.  Manakala UMP sedang merancang  untuk menawarkan Program Teknologi Kejuruteraan Pengurusan Fasiliti (Perkhidmatan Transit) di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTEK) pada masa hadapan.

UMP juga menubuhkan Akademi Industri Rel (RIA) yang terbabit dalam program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Pengambilan pelatih ambilan kedua program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma melibatkan seramai 150 pelatih dalam dua sesi yang dijalankan di UMP Gambang dan UITM Shah Alam.  Pelatih terdiri daripada Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (60), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Ijazah Sarjana Muda  Mekanikal (60) dan Diploma Kejuruteraan Awam (30 . Latihan akan dijalankan di UMP Gambang (Kejuruteraan Awam) dan Pekan (Kejuruteraan Mekanikal) mulai 4 hingga 5 Febuari selama 3 bulan. 

Roadshow pengambilan pelatih peringkat sijil kali kedua pula dijangka bermula pada 19 Mac 2018 depan dengan menumpukan bidang keperluan industri  antaranya Concreter, Bar bender, Form worker, Welder, Wireman – Electrician, Tester, Crane Operator, Wheel Loader Operator di lokasi terpilih iaitu Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas ,IKTBN Wakaf Tapai, Politeknik Dungun (Terengganu), Kolej Komuniti Temerloh (Pahang) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).