Skip to main content

Bakal Graduan Miliki Ilmu Pengurusan dan Teknikal dalam Program Kejuruteraan Perniagaan UMP

Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai universiti teknologi lima bintang bertaraf dunia cukup dikenali dalam menawarkan program berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berkualiti dan diiktiraf. UMP juga merupakan destinasi pendidikan tinggi pilihan pelajar lepasan sekolah dan golongan bekerjaya untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran. Antara program diiktiraf antarabangsa yang ditawarkan di universiti ini adalah Program Dwi-Ijazah iaitu hasil kerjasama dengan universiti di Jerman, Hochscule Karlsruhe Und Wirtschaft (HsKA) dan Program Dwi-Ijazah dalam Kejuruteraan Perniagaan hasil kerjasama dengan Reutlingen University (HsR), Jerman bagi mengembangkan bidang kejuruteraan perniagaan di Malaysia. 

Menurut Ketua Program Kejuruteraan Perniagaan di Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Dr Lee Khai Loon, mendepani Revolusi IR 4.0, eksekutif yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan berpengetahuan dalam pengurusan perniagaan dikatakan antara pekerjaan paling dikehendaki yang menyumbang peluang untuk mendapatkan pekerjaan.

“Justeru, penawaran program Kejuruteraan Perniagaan di FIM sejak diperkenalkan empat tahun lalu memberi peluang mereka yang mempunyai asas kejuruteraan dan berminat untuk menimba pengetahuan dalam pengurusan perniagaan bagi mencipta kerjaya masa depan,” katanya. 

Tambah beliau, ijazah ini adalah program akademik Dwi-ijazah dengan Reutlingen University (HsR), Jerman dan UMP.  Pelajar akan melengkapkan tahun pertama dan kedua mereka di UMP dan bagi yang berjaya memenuhi keperluan akademik, mereka berpeluang menyambung pengajian tahun ketiga dan keempat di Reutlingen University.  

Kelebihannya pelajar akan mendapat dua ijazah dari kedua-dua institusi iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian (UMP) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Operasi dan Logistik Antarabangsa (HsR). Mereka juga dapat mempelajari Bahasa Jerman, menghayati budaya dan menimba pengalaman dalam industri di Jerman sendiri. Sehingga kini seramai lima orang pelajar perintis dari Jerman telah bergradusi pada Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-13 pada tahun lalu. 

Program ini dijangka dapat merealisasikan perancangan Rancangan Malaysia ke-11 bagi mewujudkan lebih ramai usahawan berasaskan kejuruteraan dan menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).  Sinergi yang mantap antara keperluan industri dan kematangan ilmu perniagaan semasa diserasikan seterusnya menjadikan graduan sentiasa memenuhi dan memahami keperluan siginifikan pihak industri.

Penawaran program ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri perniagaan dan kejuruteraan di kawasan perindustrian utama wilayah ini termasuklah berdekatan dengan kawasan perindustrian berdekatan kampus seperti di Pekan, Gebeng, Temerloh, Kerteh dan Kemaman. Manfaat buat rakan industri, mereka dapat memiliki graduan praktikal yang berpengetahuan industri yang menguasai pelbagai bahasa. Manakala bagi UMP dan HsR, kedua-dua universiti ini boleh dijadikan sebagai hub pendidikan bertaraf antarabangsa serta menggalakkan kerjasama penyelidikan gunaan dan inovasi di peringkat antarabangsa. Antara syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia adalah seperti Mercedes Benz, Robert Bosch, Infineon, BASF dan Siemens. Mereka turut akan beroleh kelebihan dari segi keperluan sumber tenaga manusia manakala Kerajaan Malaysia dan Jerman seterusnya dapat mempergiatkan pembangunan modal insan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Disediakan oleh Mimi Rabita Abdul Wahit dari Bahagian Komunikasi Korporat Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS