Skip to main content

Pelajar Antarabangsa Timba Pengalaman  Hayati Keindahan Alam

Cherating, 27 Oktober– Seramai 30 orang pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Bangladesh, China, Egypt, India, Iraq, Nigeria,  Pakistan, Sudan, Somalia dan Yaman menyertai program kesukarelawanan sambil menimba pengalaman baharu melalui pengenalan kepada tempat menarik di negeri Pahang. Program dianjurkan Pejabat Antarabangsa UMP dengan bertemakan `Love Nature’ ini.

Pelajar telah dibawa menyertai aktiviti menyusuri Sungai Cherating sambil menyaksikan keindahan pemandangan paya bakau di samping mengenali hidupan pokok paya bakau di sepanjang sungai. Perjalanan menyusuri Sungai Cherating tersebut dikendalikan oleh pihak Hafiz’s Cherating Activities selama 45 minit sebelum pelajar dibawa ke Kuala Sungai Cherating untuk aktiviti komuniti iaitu penanaman semula anak pokok paya bakau.

Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr Nik Aloesnita Nik Mohd. Alwi berkata, program ini memberi peluang pelajar menghayati keindahan alam di samping menerapkan program pemuliharaan alam sekitar dengan menanam sebanyak 50 anak pokok paya bakau bagi membantu memulihara ekosistem.

Selain itu mereka juga diberi penerangan tentang fungsi pokok ini yang disebabkan akarnya yang timbul boleh memerangkap tanah dan lumpur yang berfungsi sebagai penambak laut bagi mengelakkan hakisan yang se­me­mangnya mampu menjadi ben­teng semulajadi dan mengurangkan angin laut.

“Para pelajar turut dibawa mengenali spesis penyu yang terdapat di Malaysia melalui aktiviti lawatan ke Pusat Sanctuari Penyu di Pantai Chendor dan diberikan pendedahan berkenaan kesedaran pemuliharaan penyu daripada diancam kepupusan,” katanya.

Taklimat dan pengenalan aktiviti konservasi penyu di Rimbun Dahan dikelolakan Pak Su Cherating yang merupakan badan NGO yang aktif di negeri Pahang dalam aktiviti konservasi Penyu. Bagi meningkatkan populasi penyu dan menjaga habitat hidupan marin berkenaan para pelajar berpeluang melepaskan sebanyak 30 ekor anak penyu ke pantai tanda sokongan komuniti.

Dalam pada itu, seorang peserta, Abdelrahman Elsaid dari Egypt berkata, walaupun cuaca panas pada hari ini, beliau sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama menyertai program sebegini dan berbangga kerana turut menyumbang dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok paya bakau di sini. Selain itu pengalaman menyaksikan keindahan kelip-kelip di sepanjang Sungai Cherating kendalian Hafiz Cherating Activities ini pastinya akan menjadi kenangan buatnya apabila menamatkan pengajian nanti.

Program anjuran Pejabat Antarabangsa berkonsepkan komuniti ini dikendalikan sepanjang tahun khusus kepada pelajar antarabangsa kerana ianya  memberi nilai tambah kepada kehidupan pelajar antarabangsa UMP melalui  pengalaman berbeza yang diperoleh sepanjang pengajian di UMP.

Disediakan oleh Norashikin Sulaiman dari Pejabat Antarabangsa dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat