Skip to main content

UMP bakal jalin kerjasama dengan universiti Thailand

Kuantan, 19 Januari – Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal jalin kerjasama dengan universiti di Thailand hasil  kunjungan   hormat delegasi Thailand yang diketuai oleh  Duta Besar Thailand, H.E Damrong Kraikruan bersama wakil Silpakorn University Thailand, Moorkarpa Deeraksa dan Amornrat Benarlee yang mewakili Maejo University Thailand ke UMP Gambang baru-baru ini.

 

Hadir menyambut ketibaan delegasi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi UMP, Abd. Hamid Majid dan Pengarah German Academic & Career Centre (GACC), Ts. Dr. Muhamad Mat Noor.

 

Kunjungan bertujuan untuk membincangkan  mengenai ASEAN Competence Center for Industry 4.0 (ACCI 4.0) yang merupakan pusat yang akan menyediakan perkhidmatan penyelesaian tahap tinggi Revolusi Industri 4.0 untuk rantau ASEAN. Bersempena dengan itu  delegasi turut melawat status projek ECERDC Cyber Centre yang terletak di Gambang Kuantan. 

 

Kerjasama strategik ini bakal mendapat kerjasama pihak UMP, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Technical University of Munich (TUM).

 

Menurut Pengarah German Academic & Career Centre (GACC), Ts. Dr. Muhamad Mat Noor berkata, pertemuan ini juga membincangkan berkaitan program kerjasama akademik iaitu program dwi ijazah di UMP dan peluang bekerjasama bagi program pertukaran pelajar di antara UMP dan universiti-universiti di Thailand. 

 

Selain itu, perbincangan lanjut dengan TUM di Jerman akan diadakan bagi membincangkan lebih lanjut berkenaan projek ini bersama pihak TUM, ECERDC dan beberapa industri berkaitan di Munich, Jerman. 

 

Delegasi turut berpeluang mengunjungi makmal dan Galeri UMP bagi menyaksikan sendiri  produk-produk penyelidikan yang telah dikomersialkan pihak universiti. Turut hadir Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Prof. Madya Dr Ridzuan Darun dan Dekan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian, Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi dan dan Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan.

 

 

Disediakan oleh Siti Sarah Mohamad Rajimi dari Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi