Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan Kuantan Port dalam meningkatkan tadbir urus korporat

Kuantan, 21 Jun- Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Kuantan Port (KP) bagi pelaksanaan kajian berkaitan dengan Integriti, Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan serta penawaran khidmat latihan dalam meningkatkan pengurusan tadbir urus korporat dengan lebih cekap. Ianya akan membantu meningkatkan tanggungjawab pekerja kepada organisasi sekaligus dapat mengurangkan perbelanjaan operasi dan kerosakan reputasi. Dengan kepakaran penyelidik daripada Pusat Tadbir Urus & Integriti di Fakulti Pengurusan Industri (FIM) pihak UMP bakal  berkongsi kepakaran dalam melatih kakitangan pengurusan di KP ini.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli  memetrai memorandum perjanjian (MoA) bersama Pengarah Eksekutif KP, Wong Soon Fah dan Pengurus Jabatan Trafik KP, Mohd. Mahayudin Mohd. Hashim. Hadir sama Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) merangkap Ketua Penyelidik, Prof Dato Dr Hasnah Haron.

Menurut Profesor Ir Dr Wan Azhar, kecemerlangan pencapaian sesebuah organisasi mampu direalisasikan dan dilestarikan sekiranya isu-isu asas yang melibatkan tadbir urus, etika, integriti dan ketelusan ditangani dengan cekap dan berkesan oleh semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh yang berkaitan.

Katanya, pembudayaan dan pengalaman nilai integriti dan tadbir urus yang baik ini tidak terhad kepada sektor yang tertentu semata-mata kerana isu ini menyeluruh sifatnya yang menyentuh individu, masyarakat, negara, organisasi awam seperti UMP dan organisasi lain seperti Kuantan Port.

“Kepelbagaian latar belakang akademik staf seperti pengurusan, perakaunan, kewangan, ekonomi, sains gunaan, undang-undang dan kejuruteraan yang dimiliki UMP merupakan satu kelebihan bagi membolehkan kajian interdisiplinari berkaitan tadbir urus dan integriti dapat dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kuantan Port ini,” katanya.

Kajian Penilaian Sistem Integriti Korporat yang dilaksanakan menggunakan rangka kerja Tanda Aras Etika dan Integriti Global yang dibangunkan oleh Joan Elise Dubinsky dan Alan Richter (2008/2009) meliputi 13 dimensi organisasi. Universiti turut menawarkan khidmat latihan berkaitan etika, integriti dan tadbir urus kepada kakitangan terpilih meliputi enam modul  termasuklah konsep etika dan integriti, pengurusan risiko dan Anti-Bribery Management System.

Sementara itu, Prof Dato Dr Hasnah berkata, menjadi kepentingan bagi sesebuah organisasi  untuk memahami tadbir urus yang betul kerana ia akan membantu  organisasi dalam memacu pertumbuhan organisasi selain mengawal dan mencorak pengurusan yang berkesan.

Ujarnya, kedua-dua pihak percaya hasil kajian ini akan dapat memberi manfaat yang besar kepada KP dengan adanya pembangunan instrumen penilaian diri yang akan digunakan untuk mengukur dan menilai tahap integriti dan etika KP di tempat kerja.

Seramai 11 orang penyelidik UMP yang akan terlibat dalam menentukan tahap etika dan integiti kakitangan. Melalui program latihan ini, kakitangan pengurusan KP akan diberi taklimat, seminar serta soal jawab dan ujian. Penyelidikan ini akan mengambil masa tidak kurang daripada dua bulan manakala program latihan pula akan berlangsung selama enam hari dan mereka akan menerima sijil penyertaan apabila tamat latihan nanti.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri