Skip to main content

Dua Produk UMP Menang Anugerah Pengkomersialan Malaysia (MCY 2019)

Produk yang dihasilkan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Proses, Ts. Mohd Najib Razali iaitu produk MNRg-Treat yang dihasilkan untuk merawat sisa air berminyak menggunakan formulasi berteknologi hijau telah dianugerahkan Anugerah Usahawan Penyelidik Tahun Pengkomersialan Malaysia 2019 (MYC 2019) anjuran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) baru-baru ini.

Satu lagi produk iaitu Hidung Elektronik (Electronic Nose) atau E-Nose yang dihasilkan oleh Prof. Madya Dr Muhammad Sharfi Najib daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Prof. Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri pula telah dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Inovator Baharu MCY 2019. Kedua-duanya telah memenangi hadiah bernilai 100,000 setiap satu dalam bentuk tunai dan geran.

Menurut Mohd Najib, MNRg-Treat merupakan produk formulasi semula jadi untuk memisahkan sisa-sisa buangan air berminyak dan membantu merawat air yang dilepaskan industri agar memenuhi piawaian alam sekitar yang ditetapkan. “Sisa minyak yang diperangkap akan dirawat menjadi produk sekunder, iaitu minyak gris yang boleh didapati dengan harga yang amat berpatutan. Produk berinovasi ini mampu meningkatkan kualiti alam sekitar dan telah mula dijual juga diguna pakai di seluruh negara,” ujarnya.

Penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 2012 ini mendapat sokongan  beberapa geran penyelidikan universiti, antaranya geran MyRA Incentive Fund (Lab2Market) UIC161003 – Bio-Coagulant and Smart System for Sustainable Water Treatment dan geran TERAJU iaitu Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang bernilai RM500,000.00 sebagai menyokong idea perniagaan. Produk MNRg-Treat ini telahpun dilesenkan dan mula dikomersilkan oleh sebuah syarikat start-up yang dikenali sebagai MNR Multitech Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Teknologi E-Nose keluaran UMP pula telah dibangunkan bagi menggantikan penggunaan hidung manusia dan haiwan untuk kegunaan industri. Menariknya, teknologi ini dibangunkan dengan data yang disokong penuh secara saintifik dan telah mula digunakan oleh syarikat antarabangsa seperti Ajmal Perfume, iaitu syarikat pengeluar gaharu terbesar di dunia bagi menganalisis kualiti dan keaslian resin gaharu serta produk-produk berkaitan serta Sime Darby Oil, Thailand bagi menganalisa kualiti dan kesegaran minyak masak yang dikeluarkan di kilang mereka. E-Nose kini dikomersilkan oleh syarikat spin-off UMP dikenali sebagai Synbion Sdn. Bhd. 

Kedua-dua syarikat yang memasarkan produk ini juga merupakan syarikat yang dibimbing oleh Technology Park Malaysia (TPM) dan produk ini telah dilancarkan pada hari penyampaian anugerah berkenaan yang  diadakan bersempena penganjuran 10th International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia 2019 (IGEM 2019) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Hadir dalam program berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Pengkomersilan, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi serta Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings Sdn.Bhd., Syed Mohamad Hamzah Al- Junid Syed Abdul Rahman.