Skip to main content

Teknologi Penanaman Terung Secara Fertigasi Dalam Kampus UMP

Kuantan, 11 Jun– Dalam usaha memanfaatkan ruang kosong dalam kampus, UMP Technology Sdn. Bhd. (UMPT) yang merupakan  anak syarikat milik penuh UMP Holdings yang bertanggungjawab membantu mempergiatkan aktiviti pengkomersialan produk UMP berjaya mengusahakan tanaman pokok terung secara fertigasi di UMP Pilot Fertigation Plant di UMP Gambang. 

Kajian dan perancangan bagi menjalankan projek ini telah bermula sejak pertengahan tahun lalu walau bagaimanapun kerja-kerja penyediaan tapak projek dan lain-lain hanya bermula sepenuhnya pada Januari tahun ini setelah mendapat  kelulusan pihak pengurusan universiti dan UMP Holdings. 

Menurut Pengurus Besar UMPT, Dr. Nur Aainaa Syafini  Mohd Radzi berkata, tapak fertigasi yang berkeluasan 3.86 ekar ini telah ditanam sebanyak 15,000 pokok terung bagi tujuan komersial dan 1,000 pokok lagi dikhaskan bagi tujuan percubaan dan penambahbaikan teknologi serta produk UMP yang berkaitan sehingga menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 16,000 pokok terung yang ditanam. 

Tambahnya lagi, pokok-pokok terung ini mulai disemai sebelum dipindahkan ke polibag yang disediakan di tapak semaian pada bulan Mac dan April lalu dan hasil terung mulai dituai sejak pertengahan Mei lalu.

“Alhamdulillah kini terung ini telah mula boleh dituai dengan hasilnya sekitar 250 hingga 350 kg setiap dua hari dan mengikut jangkaan hasil tuaian ini akan mula meningkat sehingga 1.2 ke 1.5 tan sehari bermula pertengahan Jun ini. Hasil ini dijangka boleh terus dituai sehingga November ini,” katanya. Pada masa ini hasil tuaian dijual secara terus di ladang kepada pemborong dan pasaraya berhampiran pada harga RM6 per kg.

Tambahnya lagi, tanaman fertigasi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi UMP. Malahan sebelum ini UMP telah mengusahakan beberapa projek penanaman secara fertigasi bagi tujuan kajian di UMP Model Farm dan beberapa aktiviti kemasyarakatan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat melalui projek Facelift D’ Kuala di Kuala Pahang.

Namun menurutnya, melihat kepada potensi penggunaan sistem terkawal ini melalui aktiviti yang telah dijalankan terutamanya terhadap potensi memberikan pulangan lumayan, iaitu sehingga 3 atau 4 kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah pertanian konvensional, menarik minat pihaknya untuk menjalankannya sendiri secara komersil disamping membuka peluang kepada produk-produk UMP untuk mula digunapakai dalam sistem komersial.

Fertigasi adalah teknik pertanian yang memaksimumkan hasil tanaman melalui penggunaan air dan baja yang terkawal. Aplikasi ini juga memastikan bahawa kesan negatif baja kepada akar, tanah dan air bawah tanah dapat dielakkan. Apabila menggunakan sistem tanpa tanah seperti fertigasi yang mana substrat dan media seperti sabut kelapa atau sekam bakar digunakan.

Penanaman ini boleh dilakukan tanpa tanah subur dan boleh dilakukan di dalam kawasan bandar  ataupun di kawasan dengan tanah yang terhad. Sistem tanpa tanah juga mampu meningkatkan hasil melalui pencegahan penyakit bawaan tanah. 

Selain bertindak sebagai aktiviti penjanaan pendapatan kepada syarikat milik universiti, projek perintis tanaman fertigasi yang dibangunkan ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana kedudukannya yang berada di dalam kawasan kampus. 

Beliau mengharapkan ladang fertigasi milik UMPT ini sebagai pemulaan kepada penggunaan produk-produk UMP yang berpotensi dalam bidang pertanian secara komersil, sebelum dipasarkan secara besar-besaran di pasaran terbuka. Pihaknya juga berhasrat untuk meluaskan lagi penanaman sayuran secara fertigasi ini agar UMPT mampu menjadi salah satu pembekal sayuran segar terbesar di negeri Pahang.

Dalam pada itu, melalui projek ini juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa UMP dan masyarakat setempat untuk menambah pendapatan mereka. UMPT kini dalam proses untuk mengenalpasti kawasan berdekatan yang boleh dipajak kepada syarikat untuk jangka masa tertentu serta turut mendapatkan kawasan tanah yang bersesuaian bagi meluaskan lagi usaha penanaman secara fertigasi ini.

Dalam melaksanakan projek fertigasi ini, UMPT turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian sepanjang proses pembangunan projek dan menjalankan kolaborasi bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi tujuan pengkomersialan hasil tanaman. Bagi mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti pertanian secara fertigasi ini sendiri, UMPT turut menawarkan perkhidmatan rundingan, serta latihan yang bersesuaian untuk memulakan projek.

Disediakan Nor Salwana Mohammad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri