Skip to main content

52 pasukan bola baling berentap dalam kejohanan anjuran UMP

Kuantan, 14 April – Memasuki edisi keempat penganjuran 4th UMP Handball East Coast Championship dilihat dapat mengukuhkan lagi kegemilangan dan kecemerlangan penganjuran kejohanan sejak ianya diadakan pada 2016. Edisi 2019 telah dianjurkan oleh Kelab Bola Baling UMP dan Pusat Sukan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA).

Seramai 52 pasukan dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada 32 pasukan lelaki dan 20 pasukan wanita berentap bagi merebut kejuaraan. Kejohanan kali ini turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Baling Malaysia dimana para pengadil yang bertaraf IHF dan MAHF dijemput bagi mengadili kejohanan.

Kejohanan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. Turut hadir sama Aznorizamin Ismail yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Azizuddin Osman mewakili pengadil Persekutuan Bola Baling Malaysia,, Penasihat Kelab Bola Baling UMP, Nur Adam Maximillian dan pengarah kejohanan, Mumtazah Annura Hassan. Beliau turut meluangkan masa bagi menyaksikan perlawanan pembukaan daripada pasukan tuan rumah UMP (Elgineers) menentang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Bagi Mumtazah, penganjuran pada kali ini turut mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bola Baling Kebangsaan (MAHF) kerana menyediakan satu bentuk pertandingan yang bukan sahaja mengikut standart malahan menepati pelbagai aspek termasuklah penyediaan gelanggang, pengadil dan banyak lagi.

“Kejohanan kali ini dilihat satu landasan ke arah kejohanan yang berimpak tingi terutamanya di Pantai Timur disamping memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain sebagai persediaan bagi menyertai Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) mahupun Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT),” ujarnya.

Sementara itu, bagi pengurus pasukan Jerantut Handball yang juga merupakan jurulatih bola baling negara, Shamshul Nizam Mohd Ali, penganjuran kali ini dilihat berprestij serta layak mendapat lima bintang terutamanya dari segi lokasi, krew teknikal serta pengadil.

Kejohanan kali ini juga menyaksikan pasukan Kelab Profesional JJ Boys dinobatkan johan bagi katerogi lelaki menewaskan Kelab Harun Boys dan tempat ketiga Jerantut Handball. Manakala kategori wanita dimenangi oleh Perak Handball yang merupakan Johan SUKMA 2018 menewaskan pasukan Selangor (RGHC) diikuti Turtle Fighters (Terengganu). Sementara itu, kategori penjaring terbanyak lelaki dimenangi oleh Muhammad Fazrin Jamaluddin, 46 jaringan dari pasukan JJ Boys dan penjaring terbanyak wanita dimenangi oleh Nur Amira Wahida Wahid, 28 jaringan daripada UMP (Elgineers). Hadiah disampaikan oleh Prof. Dato Dr Yuserrie Zainuddin dan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berserta medal.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim