Skip to main content

Empat Pesilat UMP terpilih mewakili Malaysia

Perak - Seramai empat orang pesilat Universiti Malaysia Pahang (UMP) terpilih mewakili pasukan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dalam Kejohanan Silat Antarabangsa UPSI ke-9 bagi merebut Piala Menteri Besar Perak baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada Nor Julia Idayu Abdul Aziz (kelas Putri D), Muhammad Nur’Iman Farhan Mohamad Rosli (Kelas Putra H), Muhammad Syakir Mohd Isa (kelas Putra G) dan Siti Nur Azrin Nor Azli (kelas Putri E).  

Menurut Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd. Rahman Hj Safie berkata, atlit ini telah menunjukkan prestasi yang baik semasa kejohanan Sukan IPT Malaysia (SUKIPT) 2018 dan berjaya menarik minat pihak Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang merupakan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Silat.  

“Mereka juga menunjukkan prestasi yang baik semasa mengikuti latihan pusat PST Silat.  Walau persaingan agak sengit, namun dua orang pesilat ini berjaya merangkul pingat perak bagi kelas Putri D dan gangsa bagi Kelas Putra G,” katanya.

Pihaknya berbangga dengan kejayaan ini yang membuktikan  mahasiswa UMP bukan sahaja hebat dalam aspek akademik tetapi juga berpotensi untuk diketengahkan dalam bidang sukan.

Disediakan Azazi Mamat dari Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi