Skip to main content

Kursus Pensijilan Orienteering Beri Pendedahan Kepada Pengiat Sukan Tanah Air

Kuantan, 26 Mac – Buat julung kalinya Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Magnet Edge Orienteering Sport Club (MEOSC) dan Akademik Orienteering Malaysia (AOM) telah menganjurkan Kursus Pensijilan Orienteering Tahap 1 buat pengiat sukan tanah air baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang telah mendapat penyertaan seramai 30 orang peserta baik dari dalam dan luar UMP.

Menurut Mohd Aznorizamin Ismail yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan berkata, program ini dilihat mampu menjadi medium pendedahan kepada warga UMP mengenai sukan orienteering yang dilihat semakin mendapat tempat di kalangan penggiat sukan tanah air.

“Program ini dilihat dapat meningkatkan serta memperkembangkan kegiatan sukan orienteering dalam kalangan mahasiswa di samping memberi peluang buat warga UMP serta komuniti setempat bagi mendapat pengiktirafan dari MEOSC dan IOF dalam sukan orienteering tahap 1,” katanya.

Selain itu, peserta juga turut didedahkan dengan pembelajaran secara teori dan praktikal disamping turut diberi peluang merasai suasana sebenar sukan orienteering.

Selari dengan Pelan Strategik Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP  dalam menghasilkan juara sukan dalam kalangan mahasiswa UMP, program ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa terutamanya selepas bergraduasi dengan memperoleh sijil yang diiktiraf serta kemahiran dan pengalaman secara spesifik daripada persatuan kebangsaan.

Beliau mengharapkan penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam memartabatkan sukan tanah air di mata dunia di samping mencari pelapis pada masa hadapan.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim