Skip to main content

Wanita UMP Amal Gaya Hidup Sihat

Kesibukan bekerja tidak menghalang wanita bergiat aktif dalam aktiviti bersukan dan baru-baru ini berlangsungnya Kejohanan Bola Jaring Tertutup Piala Persatuan Wanita UMP (Matahari) anjuran Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) selama dua hari bertempat di Kompleks Sukan UMP Gambang. Kejohanan mendapat kerjasama Persatuan Matahari, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Pusat Kesihatan Universiti.

Kejohanan bersempena Sambutan Hari Wanita 2018 ini melibatkan penyertaan tujuh kumpulan pemain iaitu dua kumpulan staf iaitu kumpulan Matahari 1 dan The Netbusters manakala lima kumpulan pelajar iaitu kumpulan Ladies, Apple Hijau, Black Brownies, Gadis OSH dan Lily.

Menurut Presiden Persatuan Matahari, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, kejohanan ini memberi peluang kepada para wanita di universiti ini untuk mempraktikkan amalan gaya hidup sihat dengan menyertai aktiviti-aktiviti kecergasan.

“Penganjuran ini juga sebagai suntikan semangat kepada wanita untuk bergiat dalam sukan selain mencungkil bakat-bakat terpendam terutamanya menjelangnya Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia Kali Ke-43, (SUKUM) yang akan menyaksikan UMP sebagai tuan rumah penganjuran pada bulan Ogos nanti,” katanya.

Penasihat Kelab Genesis, Nasrul Salim Pakheri berkata, pihaknya giat menganjurkan program-program gaya hidup sihat yang merupakan salah satu usaha memberi pendedahan mahasiswa mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental bagi mengekalkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.

Pertandingan terbahagi kepada dua peringkat iaitu perlawanan liga antara peserta dan perlawanan penentuan bagi merebut gelaran juara. Perlawanan peringkat akhir telah menemukan kumpulan Apple Hijau yang terdiri dari pelajar dan kumpulan Netbusters dari staf.

Kemenangan berpihak kepada kumpulan Apple Hijau dengan jaringan 10-5 manakala kumpulan Netbusters menduduki tempat kedua. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Lily sementara kumpulan Matahari 1 di tangga yang ke- 4.

Sesi penyampaian hadiah disampaikan Prof. Datin Dr Mimi Sakinah. Johan pertandingan menerima hadiah berupa piala pusingan, pingat, sijil, dan wang tunai. Selain itu anugerah pemain terbaik dimenangi Jamrah Mahat dari kumpulan The Netbusters. 

Disediakan oleh Nur Adjrina binti Hasan dari Fakulti Pengurusan Industri. Berita disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi