Skip to main content

Monsun Timur Laut dijangka bulan depan

KUANTAN 11 Okt. -Hujan lebat diramalkan berlaku bermula awal November ini di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung didahului Kelantan berikutan peralihan monsun.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD), Alui Bahari berkata, pihaknya menjangkakan Monsun Timur Laut melanda Kelantan dan Terengganu pada minggu pertama November diikuti Pahang dan selatan Johor.

“Terdapat antara empat hingga enam episod hujan akan berlaku sepanjang November hingga Mac tahun depan dengan hujan paling lebat antara November dan Disember ini.

“Seperti di Pahang dan selatan Johor pula, kebiasaannya dua negeri ini mula mendapat (taburan) hujan lebat pada Disember dan Januari yang berpotensi mengakibatkan banjir,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2018: Monsun Timur Laut 2018/1/2019 di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.

Forum tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Mashitah Mohd. Yusoff dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam UMP, Dr. Mohamad Idris Ali. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/monsun-timur-laut-dijangk…;
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Author
azwin