Skip to main content

Kolaborasi UMP dan MyHSRCorp dalam Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi

Kuala Lumpur - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama tujuh institusi pendidikan tinggi (IPT) lain menjalinkan kerjasama dengan Malaysian High Speed Rail Corporation (MyHSRCorp) dalam merealisasikan pelan transformasi pengangkutan awam darat membabitkan kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

 

Dengan usahasama strategik ini ianya dapat meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan dalam industri  kereta api di negara ini apabila Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ini bakal mewujudkan lebih 22000 peluang pekerjaan.

 

Majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri ts Dr. Daing Nasir Ibrahim bertukar dokumen MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif MyHSRCorp. Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal disaksikan Menteri II Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Ong Ka Chuan bersempena persidangan National Supply Chain Conference On Rail Projects & Career Fair 2018 di Putra World Trade Center (PWTC) Kuala Lumpur. 

 

Menurut Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, dengan kepakaran dan pengalaman UMP dalam bidang teknikal ianya dilihat mampu menyumbang kepada kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi projek ini.

 

“Bersesuaian dengan pengalaman UMP dalam menjalankan Program Latihan Kemahiran Industri bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembangunan pusat kecemerlangan industri (ICoE), ianya akan dapat membantu MyHSR Academy dalam melahirkan bakal pekerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang yang diperlukan bagi menjayakan projek MyHSR ini,” katanya.

 

Selain itu kerjasama ini juga dapat memberi peluang dalam pembangunan penyelidikan, perkongsian kepakaran dan teknologi. Tumpuan juga diberikan berkaitan program latihan kemahiran dan profesional serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

 

Kolaborasi ini juga melibatkan Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Jabatan Politeknik.

 

Disediakan oleh Dr. Mohd. Yuhyi Mohd Tadza dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi