Skip to main content

Penyelidikan UMP tarik minat DU Turki metrai kerjasama

Kuantan, 30 Oktober – Delegasi Duzce Universiti (DU) Turki yang berkunjung ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini berpeluang bertemu dengan para penyelidik UMP dalam melawat makmal serta berkongsi kepakaran mengenai penyelidikan berkaitan Plant-based special ingredients for food & drinks  oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Industri Kluster Bioteknologi, Prof. Madya Dr. Nina Suhaity Azmi.

Dalam pertemuan ini Prof. Dr. Arun Gupta daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses turut memberi penerangan mengenai Animal-based Halal Biochemistry Ingredients/ Extracts manakala Pengarah Pusat Kecemerlangan Bioaromatik,  Prof. Madya. Dr. Saiful Nizam Tajuddin menyampaikan taklimat mengenai Perfumery & Cosmeceutical Products.  

Kunjungan ini juga menyaksikan berlangsungnya majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan Duzce Universiti (DU) Turki bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan khususnya terhadap pembangunan penyelidikan dan akademik.

Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP Gambang, pihak DU Turki  diwakili Rektornya, Prof. Dr. Nigar Demircan Cakar serta Ketua Doktor, Universiti Hospital (Perubatan) Prof. Dr. Oner Abidin Balbay manakala Naib Canselor UMP, Prof. Dr.  Ir.  Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari mewakili tuan rumah menandatangani MoU.

Prof. Dr.  Ir.  Wan Azhar Wan Yusoff  berkata, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama selain menyokong hubungan pendidikan tinggi antara institusi pendidikan tinggi serta menggalakkan pertukaran dan hubungan staf akademik, penyelidik dan pertukaran pelajar.

"Kedua-dua pihak mengharapkan supaya lebih banyak perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai bidang menerusi jaringan kerjasama ini,” katanya. Turut hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof. Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin.

Pihak DU turut berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi akademik dan penyelidikan melalui program Mevlana Exchange Protocol yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Turki bagi program mobiliti pelajar dan staf berserta perbincangan lanjut berkenaan peluang kerjasama program Erasmus +. Program pertukaran Mevlana adalah program yang bertujuan pertukaran pelajar dan staf akademik antara institusi pendidikan tinggi Turki dan Institusi pendidikan tinggi di negara-negara lain.

DU yang mula ditubuhkan pada tahun 2006 kini mempunyai seramai 33 ribu pelajar. Ianya merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang terletak  di wilayah Black Sea, Turki mempunyai 14 fakulti, empat institut, dua kolej, 10 sekolah vokasional dan beberapa pusat penyelidikan dan aplikasi serta hospital penyelidikan.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat