Skip to main content

UMP dan ACES perkukuh kerjasama dalam teknologi pintar IR 4.0

Kuala Lumpur, 24 Oktober- Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkaitan Revolusi Industri (IR 4.0), teknologi pintar dan inisiatif digital membabitkan aktiviti pembangunan sumber manusia di Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan juga Asia Tenggara.

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd. Yusoff bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri  Jebasingam Issace John.  Hadir menyaksikan majlis Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming.

“Kerjasama ini dapat memanfaatkan UMP dalam berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa depan. Berdasarkan kerjasama ini beberapa projek akan dilaksanakan terutamanya berkaitan produk  pengkomersilan, program eksekutif 4.0 dan program latihan teknikal dan vokasional,” ujar Profesor Dato’ Dr. Mashitah.

ACES merupakan pusat usaha sama antara  ECERDC dan TUM International GmbH Jerman dalam menghubungkan agensi kerajaan dan pihak industri serta universiti dalam meningkatkan kemahiran, latihan teknologi pintar dan perundingan terutamanya  berkaitan IR 4.0 dalam pendigitalan dan automasi.   

 

TAGS / KEYWORDS