Skip to main content

UMP dan Leadworkz Group metrai MoA Lancar Program MandarIN 28

Pekan, 20 Julai- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Leadworkz Group of Companies (LW) menerusi Leadworkz Training Service Plt dan Leadworkz Media Sdn Bhd hari ini lancar Program MandarIN 28 yang menawarkan program  pembelajaran Mandarin yang memudahcara penuturannya dalam tempoh 28 jam sahaja buat pelanggan korporat daripada pelbagai agensi kerajaan, badan swasta dan industri dalam meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam  Bahasa Mandarin.

Majlis pelancaran dan acara menandatangani perjanjian (MoA) menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri. Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr Mashitah Mohd Yusoff menandatangani perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Leadworkz Media Sdn Bhd, Stan Lee serta Pengarahnya, Angelin Boo  di Dewan Bankuet UMP Pekan hari ini. 

Hasil karya buku Mandarin For All, guru Bahasa Mandarin dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP, Yong Ying Mei yang juga Pengarah Mandarin Language and Culture Centre (MLCC), ianya mengikut piawaian Common European Framework Reference of Language (CEFR) berjaya dinobatkan sebagai Buku Pendidikan Terbaik pada Anugerah Buku Negara (ABN) tahun lalu.

Selain itu, ciri-ciri yang terdapat pada buku berkenaan seperti mengikuti silibus Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) yang diiktiraf di dunia dan penggunaan audio dalam bentuk QR Code melayakkan buku berkenaan menang pada anugerah berprestij itu

“Sudah tiba masanya bagi karya ini dikembangkan lagi capaiannya kepada umum bagi menggalakkan lagi minat awam terhadap kepentingan penguasaan Bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan alternatif dalam lapangan perdagangan antarabangsa selain Bahasa Inggeris,” kata Profesor Dato’ Sri. Ts. Dr. Daing Nasir. 

UMP juga memerlukan rakan strategik yang berupaya membantu merealisasikan hasrat ini dan kesediaan Leadworkz Training Service Plt dan Leadworkz Media Sdn Bhd untuk bekerjasama dengan UMP dalam konteks ini amatlah dialu-alukan.

Dalam pada itu, Stan Lee berkata kerjasama ini akan merangkumi tenaga pengajar, buku, silibus, pengujian, perkhidmatan pengajaran dan sijil bagi mengiktiraf kelayakan mereka yang mengikuti program ini. 

Lebih menarik  membolehkan penutur fasih berbahasa Mandarin dalam masa  28 jam pembelajaran sahaja dengan kaedah pembelajaran serta-merta (on the spot learning strategy). Penutur dapat mendengar sebutan Bahasa Mandarin dengan mengimbas QR code bagi mendengar audio untuk setiap bab dalam buku tersebut. 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim