Skip to main content

UMP jalin kerjasama akademik dan penyelidikan dengan Hassan II University of Casablanca

Mahgribi, 12 Oktober- Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Hassan II University of Casablanca (H2UC) dalam bidang penyelidikan, program pertukaran staf akademik dan pelajar, program dwiijazah dan perkongsian pintar yang dapat dimanfaatkan bersama.

UMP diwakili oleh Naib Canselor Profesor Dato 'Sri Dr Daing Nasir Ibrahim manakala H2UC oleh Presidennya Idriss Mansouri. Majlis disaksikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr Nik Aloesnita Nik Mohd. Alwi dalam acara yang berlangsung di Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat.  

Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir berkata H2UC memiliki Sekolah Kejuruteraan yang terkenal. "Ini merupakan peluang keemasan untuk bekerjasama terutamanya dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan pembuatan apabila UMP disenaraikan di antara 300 universiti terbaik bagi penarafan QS World University Rankings bagi subjek berkenaan. Bidang lain termasuklah program sains, sumber semula jadi dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Beliau juga berkata satu lagi aspek yang berpotensi dalam kerjasama ini adalah dalam bidang perniagaan dan pengurusan kerana H2UC memiliki Sekolah Perdagangan dan Pengurusan terbaik.

"Ianya juga membuka peluang UMP untuk meneroka kerjasama dalam bidang kejuruteraan perniagaan seperti yang telah dijalankan dengan pihak University of Reutlingen Jerman," tambah beliau.

H2UC mempunyai lebih daripada 100,000 pelajar yang sebahagian mereka mengikuti pembelajaran jarak jauh sama seperti yang dilaksanakan pihak UMP Advanced Education melalui  pembelajaran sepanjang hayat.

UMP juga komited untuk mengembangkan pembelajaran dan pengajarannya dalam paradigma abad ke-21 melalui Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) yang  menawarkan pengajian  secara dalam talian melalui inisiatif Kuliah Pembelajaran Global (Global Classroom). Malahan UMP kini telah menyertai rangkaian global bagi Online International Learning kelolaan Suny-Coil Network yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri