Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan Bank Rakyat Tawar Pembiayaan Pendidikan-i

Kuala Lumpur, 9 Julai- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Bank Rakyat bagi membantu pelajar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Menerusi kerjasama strategik ini, pelajar yang berkelayakan boleh memohon Pembiayaan Pendidikan-i bagi pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 20 tahun pada kadar keuntungan yang kompetitif.

 

Pada peringkat ini kerjasama dengan UMP ini bakal memanfaatkan pelajar menerusi pembiayaan mereka yang bakal mengikuti program Dwi Ijazah iaitu program kerjasama antara UMP dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) dan Reutlingen University (RU) Jerman serta pelajar yang akan mengikuti Program Kerjasama Akademik (PERSISIR) UMP dan German-Malaysia Institute (GMI) di universiti ini.

  

Majlis menyaksikan Ketua Pegawai Operasi (Perniagaan) Bank Rakyat, Dato’ Amirudin Abdul Halim menandatangai memorandum bersama Naib Canselor UMP, Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam acara yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak Menara Bank Rakyat. Kerjasama ini turut membabitkan pihak AKATI Consulting (M) Sdn Bhd, Admal Aviation College dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM). Hadir sama dalam majlis, Ketua Pegawai Eksekutif, AKATI Consulting (M) Sdn Bhd, Krishna Rajagopal, Ketua Pegawai Eksekutif, Admal Aviation College, Tuan Haji Abd Malek Packeer Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif, KPTM, Nordin Ahmad.

 

Menurut Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, UMP percaya lebih banyak peluang kolaboratif yang akan diterokai dan UMP juga sentiasa komited untuk mengekalkan keakraban dengan melebarkan jaringan kerjasama bersama pihak rakan strategik lain yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan serta kecemerlangan universiti.

 

“Dalam pada itu UMP juga telah  memperkenalkan Biasiswa  dan Skim Bantuan Insentif Pendidikan kepada pelajar yang layak dan terpilih. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif MyGift yang diperkenalkan UMP dalam usaha menjadikan universiti komuniti dan usaha pengumpulan dana bagi membantu golongan yang memerlukan bagi meneruskan pengajian di universiti ini,” katanya.

 

Manakala bagi Dato’ Amirudin  berkata, kerjasama ini merupakan inisiatif Bank Rakyat bagi mempromosikan Pembiayaan Pendidikan-i dengan lebih meluas di samping menyumbang kepada pembangunan modal insan negara bagi melahirkan masyarakat yang berkemahiran tinggi di negara ini.

 

Ujarnya, syarat kelayakan bagi memohon pembiayaan ini ialah warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan tidak melebihi 60 tahun pada akhir tempoh pembiayaan. Selain itu, pemohon atau ahli keluarga pemohon juga hendaklah mempunyai pendapatan bulanan minimum RM2,000

 

Permohonan boleh dibuat melalui UMP, AKATI Consulting (M) Sdn Bhd, Admal Aviation College dan KPTM atau menghubungi saluran rasmi Bank Rakyat seperti pusat panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 dan laman sesawang korporat, www.bankrakyat.com.my untuk sebarang maklumat lanjut.

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri