Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan Rajarshi Shahu College of Engineering

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan JSPM’s Rajarshi Shahu College of Engineering, Pune India (JSPM’s RSCOE) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 27 Jun 2019 yang lalu dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP kampus Gambang.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusof menandatangani MoU dengan Pengarah Perancangan dan Pembangunan JSPM’s RSCOE, Profesor Dr. Ravi Joshi yang bakal membuka ruang ke arah peningkatan hubungan antara kedua-dua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).  
Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kerjasama ini memfokuskan program mobiliti dan pertukaran pelajar, pelantikan profesor pelawat, penyelidikan, pengajaran dan kerjasama lain. 
“Seramai 15 orang pelajar akan mengikuti program mobiliti ini di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP),” katanya. 
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi),  Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Profesor Dr. Rizalman Mamat dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Dekan Pembangunan Pelajar dan Hubungan Industri JSPM’s RSCOE, Profesor Santosh Borde dan Dekan Hubungan Antarabangsa JSPM’s RSCOE, Profesor Dr. Sachin Shendokar.
Selain itu, beliau percaya pembangunan modal insan menjadi keutamaan dan sepanjang lima tahun kerjasama ini juga akan memfokuskan penerbitan bersama, penganjuran seminar, program pembangunan dan kepimpinan profesional dan projek usaha sama yang bakal memanfaatkan kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, pada masa ini, Profesor Dr. Ravi Joshi turut menyampaikan watikah pelantikan pensyarah UMP telah dilantik sebagai sebagai profesor pelawat bagi berkongsi kepakaran dalam bidang Kejuruteraan dengan pihak JSPM’s RSCOE. 
Mereka adalah Timbalan Dekan Akademik, FKMP, Profesor Madya Ir. Haji Nik Mohd Zuki Nik Mohamed, Profesor Madya Dr. Kumaran Kadirgama dan Dr. Mahendran Samykano.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri