Skip to main content

UMP jalin kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam industri gelatin halal

Dengan kepakaran penyelidikan saintifik dan syariah yang dimilikinya, Universiti Malaysa Pahang (UMP) komited meneroka prospek pengembangan industri gelatin halal dengan rakan-rakan sinergi lain dari sektor awam atau swasta. Potensi besar industri gelatin halal dari sudut nilai komersial dan pengembangan keusahawanan merupakan dimensi signifikan yang turut diambil kira dalam pembangunan kerjasama ini.

 

Kerjasama ini memperlihatkan sokongan pihak berkepentingan seperti  Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Majlis Amanah Rakyat dan Unit Perancang Ekonomi bagi meneruskan inisiatif-inisiatif berkaitan kerjasama ini.

 

Majlis hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara  Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff manakala pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar diwakili Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dato’ Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Chandrawathani a/p Panchacharam.

 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah Negeri Pahang, Dato’ Mohd A. Aruwan Abd Aziz. Kerjasama ini melibatkan jalinan kerjasama pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama.

 

Menurut Prof. Dato’ ts. Dr. Daing Nasir, beberapa siri perbincangan dan rundingan yang telah dijalankan sebelum ini telah menghasilkan pemuafakatan oleh pihak-pihak yang berkenaan termasuklah penubuhan sebuah Kumpulan     Kerja Bersama (Join Working Group) yang mempunyai fungsi pemantauan dan penasihatan terhadap rangka kerja yang telah dikenalpasti.

 

”Dengan penubuhan sebuah Pusat Inkubator Pengeluaran Gelatin Halal  yang berkeupayaan mengeluarkan 360 tan metrik gelatin setahun dan pengeluaran ini dijangka dapat menyumbang sekurang-kurangnya 0.08 peratus pasaran gelatin dunia,” katanya.
 

Ujar beliau, buat masa ini pembangunan Pusat Inkubator Pengeluaran Gelatin Halal  masih berada pada tahap 26 peratus yang meliputi penyediaan premis, infrastruktur, kelengkapan loji dan pembentukan rantaian bekalan halal (halal supply chain) yang berkaitan.
 

Selain itu katanya, memandangkan industri pengeluaran gelatin amat bergantung kepada sumber haiwan, maka tentunya UMP memerlukan bantuan kepakaran dan khidmat nasihat daripada  Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai pihak berkuasa bertanggungjawab bagi memastikan aras pematuhan dan integriti produksi yang tinggi selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa dan prosedur operasi standard yang ditetapkan.Bersempena dengan itu juga delegasi turut melawat pusat ini yang dibina di tapak yang berkeluasan 4.45 ekar di Industrial Technology Engineering Creativity Space (ITECS) ini terletak di UMP Pekan.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi