Skip to main content

UMP meterai kerjasama dengan Lumileds Sdn. Bhd.

Pulau Pinang, 27 Julai 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengukuhkan jaringan kerjasama apabila memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategiknya iaitu Lumileds Sdn. Bhd.

Lumileds Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat termaju dalam sistem pencahayaan LED dan penghasilan produk aplikasi pencahayaan automotif, mudah alih serta internet benda (IoT). 

Ia juga merupakan syarikat penyelesaian pencahayaan global yang membantu pelanggan di seluruh dunia dengan mengekalkan daya saing yang kompetitif.

Majlis menyaksikan UMP diwakili Naib Canselornya, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar  Wan Yusoff manakala Lumileds Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Loganathan Muniandy.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kerjasama pada kali ini tertumpu kepada program kerjasama akademik dan penempatan industri kepada staf dan pelajar UMP.

“Ini termasuklah menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar pascasiswazah menjalankan penyelidikan bagi membantu dalam penyelesaian permasalahan industri.

“Turut diteroka adalah pelaksanaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang yang akan dipersetujui bersama kedua-dua pihak di samping program-program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” katanya.

Kerjasama antara UMP dan Lumileds ini juga adalah susulan daripada penempatan pensyarah UMP,  Dr. Ummu Kulthum Jamaludin daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang dilantik sebagai felo program CEO@Faculty 2.0 (musim ketiga) yang ditempatkan di Lumileds Sdn. Bhd. selama enam bulan dan akan berakhir pada hujung bulan Ogos nanti.

Hadir sama dalam majlis ialah Dekan FTKMA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak, Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Fazeeda Mohamad dan Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Ahmad Razlan Yusoff.

Turut hadir mantan Pengarah Urusan Lumileds, Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman, Pengarah Sumber Manusia Lumileds, Wan Ilham Wan Sulaiman, Pengarah Integrasi dan Pakej Reka Bentuk Penyelidikan, Lim Chong Tat dan Pengurus Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), Mohd. Raizalhilmy Mohd Rais.

 

Disediakan Oleh: Mohd. Raizalhilmy Mohd Rais, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN)
 

Reports by:
Admin UMP News