Skip to main content

UMP meterai MoU dengan Mercedes-Benz Perkasa Kerjasama Akademik dan Industri

Kuantan, 12 Oktober – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Mercedes-Benz (Malaysia) Sdn. Bhd. memetarai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama industri, penyelidikan, pembangunan akademik dan sokongan teknikal serta pembangunan modal insan melalui penawaran pembiayaan industri kepada pelajar program dwi ijazah. Ianya juga bakal membuka peluang meneroka kerjasama lain yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutamanya dalam menyediakan latihan dan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. Dr. Jamil Ismail menandatangani perjanjian  bersama Timbalan Presiden Mercedes-Benz (M) Sdn. Bhd, Mr. Patrick Baur serta Pengurus Sumber Manusia, Norlida Shariff di Dewan Bankuet UMP Gambang.

Turut sama hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengurus Besar Perancangan dan Kejuruteraan, Gerhard Monorfalvi. 

Menurut Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, jalinan kerjasama strategik antara dua organisasi ini telah terjalin dengan pemetraian MOU yang pertama pada tahun 2013. Begitu juga dengan keberhasilan program kejuruteraan Jerman yang menerapkan Model Fachhochschulei melalui program kerjasama dengan pihak Karlsruhe University of Applied Sciences pada tahun  2010 dan pihak Reutlingen University pada tahun  2014.

“UMP amat bersyukur apabila pihak  Mercedes-Benz (M) juga bersetuju bagi pembiayaan  Biasiswa Pembangunan Modal Insan – Industri kepada calon yang layak dalam kalangan mahasiswa dwi-ijazah yang masih menuntut," katanya. Beliau mengharapkan lebih banyak peluang kerjasama dapat dijalinkan bersama  Mercedes- Benz dan syarikat Jerman lain di negara ini dalam konteks globalisasi akademik di samping meneroka lebih banyak peluang yang bermanfaat serta perkongsian yang strategik.

Selain itu juga dapat mempertimbangkan lebih banyak penempatan latihan industri untuk mahasiswa UMP serta  membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan UMP khususnya dalam bidang berkaitan Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Kejuruteraan Perniagaan. Manakala sokongan pihak Mercedes Benz (M) terhadap inisiatif akademik dan penyelidikan UMP serta endowment MyGift juga bakal melonjakkan universiti ini ke suatu tahap pencapaian yang lebih baik.

 

Disediakan oleh Siri Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat