Skip to main content

UMP metrai kerjasama dengan HP

Pulau Pinang, 25 Jun- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan HP Malaysia Manufacturing Sdn Bhd (HP) hari ini memetrai memorandum perjanjian(MoA) bagi memperkasakan bidang pengajaran dan projek penyelidikan. 

Ianya membabitkan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan ( FKP) bagi membangunkan Sistem RFID yang dapat meningkatkan kecekapan logistik penghantaran dan semakan produk untuk dimanfaatkan pekerja dalam industri ini. 

Jaringan kerjasama tersebut merupakan platform terbaik untuk membangunkan pelbagai kaedah dan pendekatan dalam penyelidikan terutama membabitkan teknologi pembuatan di samping bidang-bidang lain berkaitan mengikut keperluan industri.

Majlis pertukaran MoA berlangsung di HP Malaysia Manufacturing Sdn Bhd, Batu Kawan Pulau Pinang. Hadir mewakili UMP, Profesor Fakulti Kejuruteraan Pembuatan,  Prof. Dr. Zahari Taha manakala pihak HP Malaysia Manufacturing Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Sunil Chandiramani. 

Menurut Prof. Dr. Zahari, kerjasama tercetus rentetan daripada pameran pelbagai hasil penyelidikan yang dihasilkan oleh makmal Innovative Manufacturing, Mechatronics and Sports Laboratory (iMAMS Lab) sempena HP Garage Day 2017 di Pulau Pinang. 

“UMP merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang dianugerahkan geran industri (Seeding Fund) untuk meningkatkan kecekapan pekerja melalui pembangunan teknologi berteraskan Revolusi Industri 4.0 dan disaring bersama dua kumpulan jurutera HP yang lain, “ katanya. 

Selain itu , projek geran industri yang diketuai oleh Pensyarah Kanan FKP, Dr. Muhammad Aizzat Zakaria yang dibantu oleh beberapa orang pensyarah dan penyelidik makmal iMAMS serta pelajar UMP telah berjaya  menghasilkan sebuah prototaip berskala makmal bagi mengoptimumkan lagi keberkesanan proses pembuatan di HP Manufacturing Malaysia.

Pada masa ini juga seramai empat orang pelajar UMP sedang menjalankan projek penyelidikan di makmal inovasi HP yang dinamakan ‘HP Garage’  selain memanfaatkan peluang menimba pengalaman Industri.

Bagi pelajar UMP,  Choong Chun Sern, yang terlibat di dalam projek ini berkata , kerjasama ini membolehkan pelajar mengadaptasikan pengetahuan semasa di universiti untuk menyelesaikan masalah sebenar. Sebagai contoh, skil pengaturcaraan beliau semakin bertambah secara drastik selepas menyelesaikan fasa pertama projek ini. Selain itu juga mendapat pengalaman dan cabaran baru. 

Projek tersebut kini diperbaharui bagi fasa kedua merangkumi skala gudang pula. Melalui MoA ini, para pensyarah dan pelajar UMP serta pihak HP mendapat manfaat bersama dalam mengharungi era industri 4.0.

Disediakan oleh Mohd. Ferdaus Musa, Bahagian Komunikasi Korporat.